Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pernah tak anda minum air dari botol minuman yang ditinggalkan dalam kereta sebelum ini untuk menghilangkan rasa dahaga?
Mungkin perbuatan ini nampak biasa bagi sesetengah orang namun jangan tidak tahu terdapat bahaya yang tersembunyi di sebaliknya.
Haba & Sinaran UV Dari Cahaya Matahari Sebabkan Bahan Kimia Meresap Ke Dalam Air
Menurut ahli farmasi yang dikenali sebagai Jasmin dalam satu video di Instagram miliknya, haba dan sinaran ultraviolet (UV) boleh menyebabkan bahan kimia dari botol minuman meresap ke dalam air.
Keadaan ini sekaligus boleh menjejaskan kualiti air itu sendiri dan memberi kesan kepada individu yang minum minuman tersebut.
“Bila (air) diminum, anda akan minum mikroplastik dan bahan kimia yang tidak sepatutnya.
“Dalam jangka masa panjang, ia mungkin boleh menyebabkan kanser,” katanya.
Suhu Tinggi Sebabkan Struktur Kimia Tak Stabil
Malah, Public Health Malaysia (PHM) dalam satu hantaran di Facebook turut menerangkan perkara yang sama.
Jelas laman berkenaan, suhu yang tinggi boleh menyebabkan struktur kimia botol plastik berada dalam keadaan tidak stabil.
Ini kerana kebanyakan botol plastik yang dicipta di pasaran hanya selamat digunakan pada suhu bilik.
“Tapi bila kereta dijemur bawah matahari terik Malaysia, suhu dalam kereta boleh mencecah 60 hingga 70 darjah Celsius.
“Pada suhu setinggi ini, struktur kimia plastik mula menjadi tidak stabil. Kajian menunjukkan haba boleh menyebabkan bahan kimia seperti Antimoni dan Phthalates meresap (leach) keluar dari dinding botol masuk ke dalam air minuman anda,” kata mereka.
Bakteria Boleh Tumbuh Dengan Cepat Lebih-Lebih Lagi Jika Air Telah Diminum
Kongsi Jasmin lagi, air botol yang telah diminum dan bakinya disimpan dalam kereta untuk beberapa jam atau beberapa hari adalah tidak selamat untuk diminum.
Ini kerana bakteria mudah untuk merebak dengan lebih cepat lebih-lebih lagi jika cahaya matahari terkena pada botol minuman itu.
“Apabila mulut kita dah sentuh mulut botol, mulut kita sebenarnya ada bakteria.
“Bakteria itu sangat senang untuk tumbuh dengan cepat lebih-lebih lagi apabila ada haba yang berlebihan daripada cahaya matahari dan bila ia diminum, sangat mudah untuk (seseorang) ambil (mendapat) bakteria dengan cepat,” katanya.
View this post on Instagram
Tabiat Minum Air Dari Botol Yang Ditinggalkan Dalam Kereta Boleh Bagi Kesan Pada Badan
Selain kanser khususnya kanser payudara dan prostat, terdapat bahaya lain yang menanti jika tabiat minum air dari botol yang ditinggalkan dalam kereta masih diteruskan.
Jelas PHM, perbuatan ini boleh mengganggu hormon badan individu dalam tempoh jangka masa panjang.
“Antimoni contohnya, boleh menyebabkan pening kepala, masalah perut dan pedih ulu hati jika diambil dalam kuantiti yang tak sepatutnya,” kata mereka.
Selain itu, ia juga boleh menyebabkan seseorang berisiko mengalami obesiti atau diabetes, mengganggu kesuburan serta mengganggu perkembangan janin dan kanak-kanak.
Bila Air Tidak Sesuai Lagi Untuk Diminum?
Mungkin ada yang tertanya-tanya dan sukar untuk melihat perubahan pada kualiti air dalam botol minuman yang ditinggalkan dalam kereta.
Namun, air yang ditinggalkan dalam botol sudah tidak sesuai untuk diminum jika:
- Air rasa pelik dan berbeza berbanding biasa
- Bentuk botol telah berubah (menjadi lebih lembut atau kecut) akibat haba
- Terdapat bau plastik apabila dibuka
- Botol telah lama serta terdapat calar atau kabur pada permukaan.
![Image from: Jangan Ambil Mudah! Ini Bahaya Minum Air Dari Botol Plastik Yang Ditinggalkan Dalam Kereta [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/view-travel-items-inside-car-ready-trip-1024x683.jpg)
Cara Selamat Nak Simpan Air Dalam Kereta
Buat anda yang masih mahu menyimpan air di dalam kereta, ini cara mudah dan selamat yang boleh dipraktikkan.
- Guna botol bukan plastik antaranya seperti keluli tahan karat (stainless steel) atau kaca yang tahan panas
- Letakkan botol pada tempat yang teduh seperti di bawah tempat duduk atau beg berpenebat haba
- Jika mahu guna botol plastik, pastikan ia mengandungi label BPA Free ini kerana BPA diketahui boleh mengganggu keseimbangan hormon manusia.
- Tukar botol secara berkala.
Baca Artikel Berkaitan: Kenapa Tak Boleh Minum Kopi 2-3 Kali Sehari? Ini Sebabnya [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Cendol Minuman Sihat? Ini Fakta Yang Anda Perlu Tahu [Video]




