Jangan Ambil Ringan, UAI Kongsi Hukum Jika Sengaja Lewatkan Solat Fardu [Video]

13 Jun 2025 • 9:42 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Solat fardu lima waktu iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak merupakan salah satu daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim.

Sekiranya ditinggalkan secara sengaja atau tidak sengaja mahupun solat fardu itu tidak sah, maka umat Islam perlulah menggantikannya dengan cara qada solat.

Pun begitu, ada juga sesetengah individu yang sengaja melewat-lewatkan solat fardu kerana ingin menyelesaikan dahulu urusan dunia seperti kerja dan sebagainya.

UAI tampil jelaskan hukum sengaja lewatkan solat fardu

Susulan itu, pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus atau lebih mesra disapa UAI tampil menjelaskan tentang hukum melewat-lewatkan solat.

Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya, UAI menerangkan tentang perkara itu selepas diajukan soalan oleh seorang individu dalam satu sesi soal jawab agama di sebuah masjid pada tujuh bulan yang lalu.

Menurutnya, adalah wajib bagi umat Islam untuk mengerjakan solat di dalam tempohnya sebelum memasuki waktu solat yang lain.

Solat lebih awal, besar ganjaran pahalanya

Pun begitu, UAI berkata umat Islam yang melakukan solat di awal waktu akan menerima ganjaran pahala yang lebih banyak berbanding individu yang melewatkan solatnya.

Menurutnya lagi, waktu dalam solat juga terbahagi kepada lima waktu dan ada waktu di mana perbuatan itu hukumnya haram, namun solat yang dilakukan tidak lah haram.

5 waktu dalam solat itu adalah:

  1. Waktu Fadhilat: Waktu paling awal lepas azan paling banyak pahala.
  2. Waktu Ikhtiar: 15 minit selepas azan waktu yang kita boleh pilih.
  3. Waktu Jawaz: Waktu yang harus kita sembahyang. Contoh, solat Zuhur pada 3.30, waktu harus bukan haram.
  4. Waktu Karahah (waktu makruh): 15 minit lagi nak masuk waktu solat lain. Pemilihan waktu ini dibenci oleh Allah SWT jika disengajakan.
  5. Waktu Tahrim (waktu haram): Hampir masuk waktu lain baru nak takbir. Perbuatan melambatkan waktu solat itu yang haram, namun sembahyangnya tidak haram.

Sengaja lewatkan solat tak patut diamalkan – Jabatan Mufti Negeri Selangor

Memetik laman web Jabatan Mufti Negeri Selangor, perbuatan melewatkan solat dengan sengaja tidak seharusnya diamalkan.

Ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan seseorang cuai atau terus tertinggal solat atau mungkinya solatnya dalam keadaan tergesa-gesa di hujung-hujung waktu.

Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama, maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.

Firman Allah SWT, Surah al-Ma’un ayat 4-5

Mungkin ada di antara kita yang sengaja melewat-lewatkan solat kerana ingin terus menyambung solat yang lain. Sebagai contoh, solat Zuhur di hujung waktu kerana selepas sembahyang ingin terus menyambung solat Asar pula.

Hati-hati, jangan sampai kita melakukan perbuatan yang haram atau tidak disukai Allah. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua.

View Original Article