
Kota Kinabalu: Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang bakal tiba bukanlah pilihan raya negeri biasa, sebaliknya merupakan penentu hala tuju seterusnya bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta masa depan Sabah dan rakyatnya.
Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata rakyat tidak seharusnya mempertaruhkan masa depan mereka dengan menganggap PRN ini seperti pilihan raya biasa.
“Ia juga bukan seperti bermain ‘katam-katam’ atau berjudi dengan nombor empat angka!
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“PRN17 ini adalah realiti — satu tanggungjawab besar yang akan menentukan masa depan rakyat kita, negeri kita dan generasi akan datang,” katanya.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Gagasan Rakyat pada Ahad.
Ia dihadiri hampir 10,000 perwakilan Gagasan Rakyat. Turut hadir ialah bekas Ketua Menteri merangkap Penasihat Utama Parti Bersatu Sabah (PBS) Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Timbalan Presiden StarSabah Datuk Ellron Alfred Angin; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) merangkap bekas Ketua Menteri Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman; Presiden Usno Tan Sri Pandikar Amin; Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Datuk Yong Chi Fui; Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud; Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe; Timbalan Presiden Upko Datuk Donald Peter Mojuntin dan Pengerusi Amanah Sabah Datuk Lahirul Latigu.
Hajiji berkata PRN17 akan menjadi detik penentu kepada masa depan politik Sabah, sambil menekankan bahawa pelan pembangunan yang diperkenalkan oleh pentadbiran semasa (GRS-PH Plus) sudah menunjukkan manfaat ekonomi yang nyata.
“Inilah peluang terbaik kita untuk mendapatkan mandat rakyat dan membentuk kerajaan negeri yang kukuh dan stabil. GRS telah memperkenalkan pelan pembangunan yang bukan sekadar slogan kosong tetap menunjukkan hasil yang nyata, dengan pertumbuhan ekonomi positif di negeri ini.
“Untuk meneruskan pelan-pelan pembangunan ini, kita perlukan mandat kukuh daripada rakyat. Maka, PRN17 adalah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan,” katanya.
Menurut Hajiji, kemenangan GRS dalam PRN17 akan memberikan mereka suara yang lebih kuat dalam usaha membangunkan Sabah.
“Ia akan meletakkan kita dalam kedudukan lebih kukuh bagi memperjuangkan dan mempertahankan hak Sabah. Jika kita gagal membentuk kerajaan negeri, kita telah melepaskan peluang keemasan untuk meletakkan kuasa politik tempatan di barisan hadapan landskap politik Sabah.
“Jika itu berlaku, tidak mustahil dasar dan pelan pembangunan yang sedang berjalan dengan baik ketika ini akan dibatalkan — seperti mana pernah berlaku sebelum ini. Dan yang akan menanggung akibatnya adalah rakyat, dan yang akan kerugian juga adalah rakyat Sabah,” katanya.
“Apabila kita membentuk kerajaan hampir lima tahun lalu, kita memulakan perjalanan ini dengan azam dan visi yang jelas — seperti seorang arkitek membina istana dengan tiang dan asas yang kukuh.
“Dengan semangat yang sama, kita membina pentadbiran kita dari bawah berdasarkan aspirasi dan nilai-nilai komuniti akar umbi, dipacu oleh kekuatan parti-parti tempatan. Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang — tetapi kita berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat.”
Hajiji berkata beliau yakin rakyat, khususnya pengundi, bijak dalam memilih siapa yang layak memimpin negeri ini.
“Saya yakin dan percaya bahawa berdasarkan rekod prestasi kita, rakyat (Sabah) akan sekali lagi memilih GRS untuk menerajui Sabah bagi lima tahun akan datang.
“Insya-Allah, apabila kita menang, semua pelan pembangunan kita boleh diteruskan dan direalisasikan, memastikan kesinambungan pentadbiran dan kejayaan berterusan,” katanya.
