Jangan arah pekerja isi kenderaan syarikat guna kuota BUDI95 peribadi - Fahmi

LocalPolitics
8 Oct 2025 • 6:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jangan arah pekerja isi kenderaan syarikat guna kuota BUDI95 peribadi - Fahmi

image is not available

08/10/2025 - 18:19

KUALA LUMPUR 8 Okt – Majikan tidak dibenarkan mengarahkan pekerja mereka menggunakan Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi mengisi petrol kenderaan milik syarikat, menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, jika perkara seperti itu berlaku, pekerja boleh membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup atau memaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk tindakan lanjut.

"Itu adalah salah. Jika mana-mana pekerja diarahkan oleh majikan untuk mengisi minyak kenderaan milik syarikat, mereka boleh membuat laporan dengan kementerian atau memaklumkan pihak berkuasa untuk tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video tular melibatkan seorang pekerja syarikat kurier yang didakwa menggunakan subsidi BUDI95 untuk mengisi petrol kenderaan majikan.

Terdahulu, Fahmi hadir ke majlis penyampaian surat pelantikan kepada ahli Majlis Penyeliaan dan Lembaga Gabenor Bernama di Wisma Bernama hari ini.

Tambahnya, beliau sudah meneliti video tersebut dan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu untuk penjelasan lanjut kerana mereka mendapat lesen daripada MCMC.

Dalam pada itu, syarikat kurier tersebut mengakui mereka mempunyai kad minyak dan pekerja terbabit telah memadam kandungan video tersebut.

Syarikat itu juga memaklumkan kepada MCMC bahawa pekerja berkenaan telah memohon maaf.

Susulan isu itu, Fahmi mengumumkan beliau telah menghubungi Kementerian Kewangan dan Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia bagi meneliti mekanisme bantuan yang sesuai untuk pekerja syarikat kurier, terutama mereka yang bekerja dalam sektor ekonomi gig.

"Sebab kita tahu terdapat dua kategori pekerja penghantaran iaitu mereka yang bekerja tetap dengan syarikat yang disediakan kad minyak.

“Namun bagi pekerja gig pula, mereka menggunakan kenderaan sendiri dan layak menerima manfaat BUDI95.

“Kementerian Kewangan sedang meneliti kemungkinan mereka termasuk dalam golongan penerima kuota tambahan BUDI95," katanya.

Melalui subsidi Budi95, lebih 16 juta rakyat Malaysia menikmati harga RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter, berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi. - BERNAMA

standard