Majikan dilarang arah pekerja isi petrol kenderaan syarikat guna BUDI95 - Fahmi

LocalPolitics
8 Oct 2025 • 6:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Majikan dilarang arah pekerja isi petrol kenderaan syarikat guna BUDI95 - Fahmi

image is not available

08/10/2025 - 18:17

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Okt - Majikan dilarang sama sekali mengarahkan pekerja menggunakan bantuan subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) untuk mengisi kenderaan milik syarikat kerana perbuatan itu menyalahi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sekiranya terdapat pekerja diarahkan berbuat demikian, mereka boleh membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) atau memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kerajaan komited memastikan tiada pihak disalahgunakan atau dimanipulasi dalam pelaksanaan inisiatif BUDI95, khususnya melibatkan pekerja sektor penghantaran yang tergolong dalam kumpulan pekerja gig.

“Saya ingin tegaskan, jika ada mana-mana pekerja yang diarahkan oleh syarikat untuk mengisi kenderaan milik syarikat menggunakan akaun BUDI95 sendiri, itu salah.

“Mereka boleh buat laporan kepada pihak KPDN atau maklumkan kepada pihak berwibawa untuk tindakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Bernama hari ini.

Fahmi berkata, beliau sebelum ini meneliti satu video tular yang memaparkan dakwaan seorang pekerja syarikat penghantaran diminta mengisi petrol menggunakan subsidi Budi95 miliknya.

Beliau menjelaskan, syarikat penghantaran tersebut merupakan entiti berlesen di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan susulan kejadian itu, beliau telah mengarahkan MCMC menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.

"CEO syarikat kurier tersebut mengakui mereka mempunyai kad fleet, dan pekerja terbabit telah memadamkan kandungan tersebut. Syarikat kurier itu juga telah memaklumkan kepada MCMC bahawa pekerja berkenaan telah memohon maaf," katanya.

Susulan isu tersebut, Fahmi berkata, beliau telah berhubung dengan Kementerian Kewangan dan Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia bagi meneliti mekanisme bantuan yang bersesuaian untuk pekerja syarikat penghantaran ekspres, khususnya mereka yang berada dalam sektor ekonomi gig.

"Kerana kita tahu terdapat dua kategori pekerja penghantaran: mereka yang bekerja secara tetap dengan syarikat — di mana syarikat akan menyediakan kad fleet — dan satu lagi ialah pekerja gig.

"Bagi pekerja gig ini, Kementerian Kewangan kini sedang meneliti kemungkinan untuk memasukkan mereka sebagai sebahagian daripada penerima kuota Budi95," katanya.

Melalui subsidi bersasar Budi95, lebih 16 juta rakyat menikmati harga RON95 pada kadar subsidi RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran RM2.60 seliter tanpa subsidi. - DagangNews.com

standard