
PETALING JAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga (ST) digesa menilai semula tahap perlindungan Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) bagi mengurangkan tekanan kenaikan bil elektrik terhadap pengguna domestik.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, had penggunaan 600 kilowatt-jam (kWh) sebulan semata-mata tidak semestinya menggambarkan kemampuan kewangan sesebuah isi rumah.
Katanya, keluarga B40 dan M40 yang mempunyai ramai tanggungan, warga emas atau ahli keluarga memerlukan peralatan perubatan di rumah mungkin menggunakan elektrik pada kadar tinggi kerana keperluan, bukannya kemewahan.
“Tidak perlu kembali kepada subsidi pukal. Pertimbangkan perlindungan AFA secara bersasar dan berperingkat dengan mengambil kira pendapatan, bilangan tanggungan dan keperluan sebenar isi rumah.
“Kita mungkin tidak mampu mengawal harga tenaga dunia, tetapi kita boleh menentukan berapa banyak tekanan itu patut dipindahkan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Danish, pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 600 kWh sebulan terdedah kepada AFA yang kadarnya meningkat daripada 2.59 sen bagi setiap kWh pada Jun kepada 3.59 sen pada Julai.
Beliau berkata, kadar itu seterusnya meningkat kepada 3.80 sen bagi setiap kWh pada Ogos sebelum berada pada 3.67 sen bagi setiap kWh bulan ini.
Katanya, ketidaktentuan akibat krisis Selat Hormuz turut memberi tekanan kepada pasaran tenaga dunia, termasuk bekalan gas asli cecair (LNG) dan keseluruhan rantaian bekalan tenaga.
Beliau berkata, langkah kerajaan melaksanakan penstrukturan tarif sejak Julai tahun lalu bagi memastikan subsidi lebih bersasar serta menjamin kestabilan dan kemampanan bekalan elektrik merupakan prinsip yang wajar disokong.
Bagaimanapun, beliau berkata, dasar tersebut perlu dinilai semula apabila perubahan keadaan global mula memberi tekanan kepada kehidupan rakyat.
“Tambahan RM30, RM50 atau RM100 mungkin kelihatan kecil di atas kertas, tetapi bagi keluarga biasa, itulah duit susu anak, barang dapur dan belanja sekolah.
“Apabila keadaan berubah dan rakyat mula terhimpit, kerajaan mesti mendengar dan bertindak. Rakyat cuma tidak mahu kejutan harga tenaga dunia ditanggung sendirian,” katanya.-UTUSAN
The post Jangan biar rakyat tanggung lonjakan harga tenaga elektrik – AMK appeared first on Utusan Malaysia.



