“Jangan buat penginapan pekerja asing macam kandang lembu” – Menteri Sumber Manusia

Entertainment
26 Jan 2023 • 5:44 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

“Jangan buat penginapan pekerja asing seperti kandang lembu dan kerbau.”

Itulah amaran Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar selepas Operasi Bersepadu Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di tiga buah kilang sekitar Klang baru-baru ini.

Menurut beliau, majikan sepatutnya menyediakan penginapan selesa kepada para pekerja asing kerana ia berkait dengan isu kemanusiaan dan tidak wajar diabaikan.

“Kita perlu layan mereka seperti manusia, sebab kita diperhatikan. Bukan sahaja rakyat malah peringkat antarabangsa.

“Jangan buat macam kandang lembu kandang kerbau, jangan itu membahayakan pekerja-pekerja asing dan akan menjadi isu besar jika berlaku sesuatu musibah,” katanya.

Menerusi tinjauan itu, dapat dilihat keadaan penginapan pekerja asing sempit, tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan membahayakan. Malah, sebuah bilik yang sempit ‘disumbat’ untuk enam pekerja yang tidur tanpa tilam.

Difahamkan, penginapan berkenaan dibina secara haram selama hampir tiga tahun.

Kata Sivakumar lagi, kelonggaran membawa lebih ramai pekerja asing yang diberikan oleh kerajaan demi memenuhi keperluan tenaga pekerja tidak sepatutnya dijadikan alasan majikan mengabaikan aspek keselesaan.

Tambahnya, beliau akan melakukan kekerapan pemeriksaan di penginapan pekerja asing di seluruh negara bagi menangani sikap sambil lewa majikan.

Sementara itu, pemilik ketiga-tiga kilang yang diserbu akan didakwa di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh JTKSM (Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia) antaranya Seksyen 24D Akta 446 iaitu tiada Perakuan Penginapan dan juga beberapa kesalahan di bawah akta sama.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.