“Jangan Cepat Salahkan Pasangan”- Doktor Jelaskan Banyak Punca Jangkitan Herpes

Health & Fitness
23 Jun 2025 • 12:29 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui segelintir jangkitan virus boleh berlaku melalui sentuhan, air liur dan sebagainya.

Oleh itu, doktor sentiasa memberi saranan untuk tidak berkongsi makanan atau peralatan serta sentiasa menjaga kebersihan diri bagi mengelak daripada berlaku jangkitan kuman yang tak diingini.

Sebagai contoh jangkitan kuman seperti influenza, batuk, selesema, penyakit kulit, herpes dan banyak lagi.

Doktor jelaskan jangan cepat salahkan pasangan jika terkena jangkitan herpes

Baru-baru ini, pengamal perubatan yang dikenali sebagai Doktor Ahmad Samhan telah menerangkan mengenai punca boleh berlakunya jangkitan herpes kepada seseorang.

Malah doktor juga turut memberitahu mana-mana individu yang terkena jangkitan tersebut untuk tidak mudah menyalahkan pasangan kerana terdapat pelbagai punca jangkitan terbabit boleh berlaku.

“‘Doktor.. saya kena herpes sebab telor (alat sulit) suami masam?’ Bunyi pelik, tapi jangan cepat salahkan pasangan.

“Jangkitan ini boleh datang dari banyak punca,” ujarnya.

Ramai sangka gelembung pada bibir dan rasa pedih serta panas adalah ulser

Menurutnya, ramai yang menyangkakan apabila kelihatan gelembung pada bibir bersaiz kecil, pedih serta rasa panas itu adalah ulser.

Namun sekirannya perkara itu berulang, ia berkemungkinan adalah jangkitan herpes mulut atau HSV-1 (type 1).

Jelasnya, ada yang mengadu perkara itu berlaku selepas melakukan seks oral dan keadaan bibir jadi melepuh.

“Lepas saya buat oral sex, bibir saya terus melepuh.. suami saya punya (alat kelamin) bau pelik,” jelasnya.

Pelbagai faktor boleh berlaku disebabkan masalah herpes

Kata Dr Samhan, jangkitan herpes boleh berlaku disebabkan seks oral namun penting untuk setiap individu faham bahawa jangkitan itu tidak semestinya datang daripada lelaki.

“Virus ini sangat mudah berjangkit, dah ramai orang tak sedar mereka dah bawa virus ini sejak kecil.

“Kadang ia dijangkiti masa kecil, dari ciuman ahli keluarga, berkongsi sudu atau tuala,” ujarnya.

Menurut Dr Samhan virus berkenaan disifatkan ‘tidur’ (tidak aktif) dalam badan dan boleh aktif apabila sistem imun menjadi lemah sebagai contoh stres, demam atau haid.

Antara cara virus herpes ini boleh merebak adalah melalui:

  • Ciuman, walaupun tidak ada luka yang terlihat atau nampak.
  • Seks oral dengan pasangan yang telah pun dijangkiti virus herpes.
  • Menggunakan barang peribadi orang lain atau berkongsi barangan seperti lip balm, sudu, straw dan banyak lagi.
  • Sentuhan tangan pada kawasan yang telah dijangkiti ke mulut sendiri.

Seseorang yang dijangkiti boleh mengalami demam, timbul gelembung kecil pada bibir dan banyak lagi

Antara tanda-tanda herpes mulut adalah timbul gelembung kecil pada bibir, rasa yang gatal, panas dan juga pedih.

Selain itu seseorang juga boleh mengalami demam yang ringan serta badan berasa keletihan dan tidak larat.

Tegasnya seseorang tidak boleh mengambil mudah sekiranya terdapat simptom seperti ini kerana herpes mulut mudah berjangkit tanpa disedari.

“Jaga kebersihan, elak berkongsi barang peribadi, dan sentiasa peka dengan perubahan tubuh. Lebih baik berjaga-jaga, daripada menyesal kemudian.”

Jangkitan awal rasa sakit tekak, demam dan sakit sewaktu menelan

Memetik laporan Hello Doktor, jangkitan herpes mulut juga boleh menyebabkan seseorang mengalami rasa gatal dan kesemutan di sekitar kawasan bibir atau mulut.

Jelasnya sebelum seseorang mengalami lepuhan, individu yang dijangkiti mungkin akan berasa sakit tekak, demam atau rasa sakit sewaktu menelan.

Bukan hanya itu lepuhan air atau kemerahan juga boleh dilihat berlaku pada:

  • Gusi
  • Telinga
  • Mulut
  • Tekak
  • Lepuhan terhimpun di satu kawasan

Apa perkara yang perlu dilakukan oleh pesakit yang dijangkiti?

Mereka yang mengalami simptom tersebut perlu mendapatkan pemeriksaan daripada doktor untuk mengambil sampel dan dihantar ke makmal untuk analisa lanjut.

Beberapa ujian yang akan dilakukan kepada pesakit adalah Kultur virus, pemeriksaan DNA virus, dan juga ujian pemeriksaan Tzanck HSV.

Jelasnya lagi, simptom herpes mulut mungkin akan reda dalam masa satu hingga dua minggu sekiranya tanpa rawatan.

Namun doktor mungkin akan menyarankan ubat antiviral bagi mengurangkan rasa sakit selain membantu simptom dialami reda dengan lebih cepat.

Antara ubat yang diberikan untuk merawat masalah herpes adalah:

  • Acyclovir
  • Famciclovir
  • Valacyclovir

Sebelum ini kecoh di media sosial, apabila seorang usahawan, Kieda Crepe berkongsi satu video mendedahkan dirinya terkena jangkitan herpes.

Namun apa yang mencuri tumpuan apabila dia menyebut “Ini herpes ke ni, haa. Saya rasa sebab telur dia masam,” katanya sambil menunjuk ke arah suami.

Source: