
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Jika dahulu ramai yang menyangkakan pekerjaan berat seperti menjadi jurutera, pemandu kenderaan berat seperti lori atau bas dan sebagainya hanya sesuai dilakukan golongan lelaki.
Namun kini tidak lagi kerana pekerjaan itu juga turut dilakukan oleh golongan wanita meskipun jumlahnya tidak banyak.
Justeru apa sahaja kisah mengenai wanita besi dan pekerjaannya yang luar biasa pasti menyorot perhatian ramai.
Wanita dedah bagaimana ceburi kerjaya jadi pemandu lori treler
Baru-baru ini, seorang wanita telah menarik perhatian ramai dengan pekerjaan yang dilakukannya kerana ia jarang diceburi oleh golongan hawa.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Zestie, awalnya kelihatan seorang hos telah menemubual seorang wanita dikenali sebagai Eira mengenai pekerjaannya sebagai pemandu lori treler.
Menurut Eira yang berusia 39 tahun, dia mula berminat untuk membawa lori kerana melihat bapanya yang juga pemandu lori.
“Dari kecil saya dah ikut dia (ayah). Cuti sekolah saya akan ikut dia pergi travel (bekerja) daripada situ saya macam berminat nak belajar bawa lori.
“Saya nekad (untuk belajar) apabila dah cukup umur saya ambil lesen,” jelasnya.
Ambil masa selama 2 tahun untuk belajar bawa lori
Dia turut memaklumkan mengambil masa selama dua tahun untuk belajar membawa lori dan mengakui ia bukan perkara mudah.
Malah dia juga mengatakan sewaktu proses belajar, dia juga dimarahi sehingga menangis namun semua itu membuahkan hasil apabila kini sudah berjaya mendapatkan lesen memandu vokasional (GDL) dan membawa lori.
Sewaktu disoal apakah benda wajib yang perlu ada apabila dia memandu lori treler, katanya kad Touch ‘n’ Go (TnG) dan kabel telefon kerana perlu berkomunikasi dengan majikan.
Menurutnya untuk membuatkan dia kekal segar sewaktu pemanduan adalah mendengar radio dan antara genre yang sering dimainkan adalah lagu jiwang.
Eira turut menunjukkan tempat tidurnya untuk berehat yang berada di belakang tempat duduk pemandu.
“Ini katil akak, dia ada dua katil sebenarnya, double decker (dua tingkat). Sebelum ini saya bawa tanker (lori bawa cecair). Perjalanan saya selalunya jauh, dari Ipoh ke Kemaman.”
Keselamatan, tanggapan serta tidak dapat luang masa bersama tersayang adalah cabaran dihadapinya
Disoal apakah cabaran yang dihadapi sebagai pemandu lori treler, Eira mengatakan keselamatan disebabkan dia adalah seorang wanita dan sering membawa lori pada waktu malam.
“Kita selalu memandu malam apabila nak parkir di mana-mana kawasan, risiko untuk kita diganggu tinggi. Kita kena alert (berwaspada).
“Rutin akak dalam seminggu memang tak tidur di rumah, memang tidur di dalam lori sahaja,” kata Eira sambil menunjukkan lori treler dan perkara yang dilakukannya.
Dia turut menyifatkan dia lebih banyak menghabiskan masa di dalam lori dan ia juga adalah cabaran buatnya kerana tidak selalu dapat meluangkan masa bersama yang tersayang.
Selain itu, dia juga berdepan dengan cabaran di mana ada segelintir pihak yang suka memandang rendah terhadap kebolehannya membawa lori.
Namun dia tidak mengambil pusing apa yang ingin dikatakan oleh orang ramai asalkan tidak menyusahkan orang lain.
Ramai yang melihatnya terkejut serta tidak percaya yang memandu treler adalah wanita
Ketika ditanya apakah reaksi orang awam terhadapnya sebaik melihat individu yang turun dari tempat pemandu lori adalah wanita. Eira mengatakan dia ada mendapat reaksi orang terkejut malah perkara itu turut berlaku di lokasi sesi temubual terbabit dibuat.
“Eh ada, dekat sini baru je tadi (orang tegur). ‘Eh awak bawa ke?’, ‘Awak tipu ya?’
“‘Taklah lori ni saya yang bawa,’ ‘Saya tak pernah tengok tau perempuan yang bawa’,” cerita Eira mengenai reaksi yang diterimanya.
Malah dia juga mengatakan individu berkenaan juga hormat (respect) padanya kerana melakukan kerjaya yang tidak mudah bagi seorang wanita.
Tambahnya kebanyakannya akan berasa kagum dan menyoal adakah benar dia boleh memandu lori serta bagaimana dia mengendalikan kenderaan berat itu.
Keberanian adalah perkara penting jika ada wanita yang ingin mencuba menjadi pemandu lori
Eira turut menyifatkan keberanian adalah perkara terpenting buat wanita yang ingin menceburi bidang tersebut.
“Untuk wanita yang ingin mencuba, tetapi dia takut nak buat macam ni kerana ia bidang lelaki. Kita kena ada keberanian. Kalau rasa awak nak bawa, tapi tak berani, awak tak akan boleh buat.
“Kenapa wanita lain boleh? Saya tak boleh. Dia kena ada keberanian, pasti awak boleh bawa (lori) meskipun tidak tahu namun awak akan jadi reti (pandai) kalau ada keberanian.”
Melihat di ruangan komen, ramai yang bangga melihat Eira menceburi bidang tersebut. Malah ada juga menginspirasikan keberanian dan kebolehannya membawa lori berkenaan.
Tidak kurang juga ada yang berkongsi ada segelintir yang sudah mengambil lesen lori yang juga dikenali sebagai GDL (Goods Driving License).
“Bangga gila wei. Awak buat kami sebagai wanita bangga”

“Paling bangga wanita bawa lori dan bas”

“Dia sangat sweet dan inspirasi! Well done, respect”

“Salute, hebat ni. All the best sis. Yang bawa lori malam-malam tu power. Aku gelap je dah silau”




![Ramai Terhibur Fazz Ahmad Antara Rapper Pilihan Altimet – “Saya Boleh Buat Style Semua, Kecuali Dia” [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/music.jpeg)