Jangan dahului PM umum kadar gaji minimum baharu

LocalPolitics
29 Sep 2026 • 5:17 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jangan dahului PM umum kadar gaji minimum baharu

KOTA BHARU – Sebarang kadar kenaikan gaji minimum yang diperkatakan pihak tertentu ketika ini tidak boleh dianggap sebagai keputusan kerajaan apabila ketetapan tersebut belum mendapat persetujuan Kabinet.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, memorandum Jemaah Menteri bagi menentukan kadar gaji minimum baharu hanya akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang untuk mendapatkan kelulusan serta persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pihak luar tidak sepatutnya mendahului pengumuman Perdana Menteri dengan menghebahkan angka tertentu sedangkan keputusan mengenai kadar gaji minimum baharu masih belum dimuktamadkan.

“Saya lihat ramai di luar sana melompat-lompat hendak umum kadar RM2,000, RM2,100 dan RM2,200. Tunggu Perdana Menteri umum kerana keputusan itu masih belum dibuat.

“Kertas pertimbangan dan memorandum Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan berhubung kadar gaji minimum akan dibentang dalam mesyuarat Kabinet akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SJMK) sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Yang Ke-57 tahun 2026 di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Ramanan memberitahu, beliau berkongsi hasrat Perdana Menteri untuk meningkatkan gaji pekerja sebanyak mungkin, namun sebarang kenaikan perlu dibuat berdasarkan kajian menyeluruh bagi mengelakkan kesan negatif terhadap ekonomi negara.

Katanya, walaupun terdapat kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan gaji minimum dinaikkan sehingga RM3,000 atau RM4,000, penetapan kadar baharu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

“Kita mempunyai formula dalam pengiraan gaji minimum. Bukan seorang yang membuat keputusan, sebaliknya ada kumpulan besar terdiri daripada profesor, pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dan Profesor Emeritus.

“Mereka perlu menjalankan kajian impak terlebih dahulu kerana kenaikan sebanyak RM10 sekalipun mempunyai kesan yang perlu difahami,”ujarnya.

Ramanan berkata, kajian berkenaan penting bagi menentukan kadar kenaikan yang boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan ekonomi negara, selain mengambil kira keperluan mengawal inflasi.

“Kalau gaji dinaikkan terlalu tinggi tetapi inflasi juga meningkat tinggi, apa bezanya? Jadi, semuanya perlu dilakukan dengan betul,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramanan berkata, kerajaan menyediakan sebanyak 400,000 peluang pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs dibawah seliaan Pertubuhan Keselamatan Sosial kepada pekerja yang mungkin terkesan susulan konflik di Selat Hormuz.

Beliau berkata, walaupun kesan konflik itu terhadap sektor pekerjaan negara setakat ini masih minima, kerajaan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mereka yang akan kehilangan pekerjaan. – KOSMO! ONLINE

The post Jangan dahului PM umum kadar gaji minimum baharu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved