SHAH ALAM - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan semua pihak untuk mematuhi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan tiada lagi penternakan babi di negeri ini.
Pemangku Presiden Perkasa Malaysia, Borhan Ahmad Zakaria berkata, titah Sultan Selangor agar bekalan babi dibawa dari luar segera dipatuhi sepenuhnya, tanpa syarat dan tanpa dakwa-dakwi oleh mana-mana pihak bagi memastikan tiada perdebatan lagi terhadap isu yang telah dianggap selesai.
"Sehubungan dengan itu Perkasa membantah sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Kembangan, Wong Siew Ki yang mencadangkan penerokaan semula sistem penternakan babi moden dan tertutup di negeri ini.
"Perkasa ingin menegaskan cadangan dan kenyataan ADUN tersebut sebagai biadab serta memaparkan sikap tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan yang menjurus kepada penderhakaan kepada Sultan Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu Siew Ki semasa berucap dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, mencadangkan penerokaan semula sistem penternakan babi moden dan tertutup di negeri Selangor.
Borhan berkata, Perkasa menganggap titah Sultan Selangor sudah cukup jelas berhubung isu penternakan haiwan tersebut, maka tidak perlu ia diungkit lagi oleh mana-mana pihak.
Katanya lagi, pihaknya berdiri teguh menyokong dan mempertahankan titah Sultan Selangor demi tanah berdaulat bumi bertuah, sejahtera, harmoni dan lestari.
"Isunya bukan teknologi yang digunakan, sebaliknya membabitkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang jelas tidak membenarkan lagi penternakan babi di negeri Selangor.
"Perkasa ingin menegaskan keputusan yang sudah dibuat oleh kerajaan negeri untuk tidak lagi mengeluarkan lesen baharu, menutup ladang sedia ada secara berperingkat serta memenuhi keperluan bekalan melalui import sepenuhnya perlulah difahami dan dipatuhi semua pihak," katanya.



