Jangan guna wifi Masjid untuk tengok Netflix – MB Johor

18 Apr 2023 • 9:53 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

image is not available

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor berharap kemudahan WiFi yang disediakan secara percuma di masjid dan surau di negeri itu dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya, terutama oleh golongan muda.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu disediakan untuk memberi kemudahan kepada jemaah termasuk orang muda Johor mendapatkan akses Internet bagi tujuan pembelajaran, celik maklumat dan pelbagai aktiviti pengimarahan.

Beliau berkata kerajaan negeri turut berharap pelaksanaan itu dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk kembali mendekati masjid, bukan sahaja untuk mengerjakan solat tetapi sebagai tempat rujukan bagi menuntut ilmu pengetahuan menerusi kemudahan WiFi yang disediakan.

image is not available
Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama pelatih-pelatih dan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di daerah Kluang semalam

“Harap anak-anak muda dapat memanfaatkannya sebaik mungkin, mungkin di sekolah tiada WiFi, bolehlah pergi ke masjid-masjid dan gunakan perkhidmatan ini secara percuma. Usaha WiFikan masjid ini bukan satu dua, tetapi semua masjid.”

“Bagaimanapun, harap jangan ada gunakan perkhidmatan ini untuk perkara yang memudaratkan. Tok Kadi kena monitor. Jangan guna untuk (perkhidmatan penstriman) Netflix,” katanya dalam kenyataan Isnin malam.

Onn Hafiz berkata pemasangan talian WiFi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di 127 masjid dan 33 surau di negeri ini melibatkan kos RM470,404.80 meliputi kos sewaan selama 12 bulan, pemasangan serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau berkata sehingga Rabu lepas, sebahagian ahli kariah daripada 19 masjid dan surau telah mendapat manfaat tersebut apabila kerja pemasangan berjaya disiapkan.

image is not available

“Kita jangkakan 800 masjid dan surau di negeri ini bakal memperoleh kemudahan tersebut dalam tempoh 5 tahun,” katanya.

Terdahulu, Onn Hafiz menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Padang Kawad Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam di Kluang dan melancarkan inisiatif WiFi masjid dan surau peringkat negeri.