
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli mengingatkan semua pihak supaya tidak terburu-buru membuat kesimpulan berhubung isu penyebaran unsur New Age Movement (NAM) yang dikaitkan dengannya ketika menjawab perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pokok Sena di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, setiap dakwaan perlu diselidik dan disemak terlebih dahulu selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan amalan tabayyun sebagaimana disebut dalam Surah Al-Hujurat.
Menurutnya, perkara itu turut terpakai kepada semua Ahli Parlimen termasuk dirinya sendiri sebelum membuat sebarang penilaian atau mempercayai maklumat yang tersebar.
“Apa kata kita ingat pesan Allah dalam Surah Al-Hujurat untuk kita bertabayyun, untuk kita selidik dan semak,” katanya ketika menjawab perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pokok Sena di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Marhamah turut mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Pokok Sena yang menurutnya tidak mengambil peluang untuk mendapatkan penjelasan secara langsung daripadanya berhubung isu berkenaan.
“Saya berada di Parlimen sampai malam semalam, tetapi tidak ada pun usaha daripada pihak YB Pokok Sena untuk berjumpa saya sendiri dan bertanya tentang isu ini.
“Dan tidak adil untuk menghukum saya hanya berdasarkan cerita sebelah pihak,” katanya.
Beliau pada masa sama mengajak semua pihak mengutamakan akhlak dalam memperjuangkan Islam dan bukan sekadar lantang menyuarakan pandangan.
“Jadi saya ingin mengajak, ayuh kita bertabayyun. Semoga perjuangan Islam kita bukan hanya sekadar lantang bersuara, tetapi kita menghidupkan akhlak dalam perjuangan kita,” katanya.
Terdahulu, Marhamah menafikan dakwaan bahawa beliau menganut, mengamalkan atau menyebarkan unsur NAM serta amalan yang bertentangan dengan akidah Islam.
The post ‘Jangan hukum saya berdasarkan cerita sebelah pihak’ – Marhamah Rosli appeared first on The Reporter.





