Jangan hulur tengkuk untuk dipancung

WorldTechnology
13 Nov 2026 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan hulur tengkuk untuk dipancung
Jensen Huang - Foto: AFP
Image from: Jangan hulur tengkuk untuk dipancung
Alice Huang (kanan) dikaitkan dengan kerajaan China dan didakwa mempunyai hubungan dengan kegiatan penyeludupan cip. Foto: AFP

JENSEN Huang bukan sahaja seorang tokoh teknologi, malah beliau beroperasi dalam ruang yang taruhannya sangat tinggi.

Amerika Syarikat (AS) pula tidak mahu Nvidia membekalkan teknologi kepada China, yang merupakan pasaran terbesar bagi syarikat pengeluar GPU yang digunakan untuk mengendalikan pusat data kecerdasan buatan (AI).

Maka, Nvidia melobi kerajaan AS agar dibenarkan menjual cip AI yang kurang canggih. Akhirnya, AS membenarkan Nvidia menjual cip H200 kepada China.

Namun, China pula tidak membenarkan cip tersebut dibeli oleh syarikat-syarikat tempatan kerana tidak mahu bergantung kepada teknologi AS.

Dalam keadaan ini, Jensen Huang dikatakan jatuh hati kepada seorang lagi Huang, iaitu Alice. Untuk tujuan komersial, ramai warga China menggunakan nama Barat bagi memudahkan urusan perniagaan. Ini juga merupakan satu perkara yang boleh kita pelajari.

Masalahnya, Alice dikaitkan dengan kerajaan China dan didakwa mempunyai hubungan dengan kegiatan penyeludupan cip yang dikenakan sekatan kepada syarikat-syarikat China. Sudah tentu China menafikan dakwaan tersebut.

Justeru, Jensen Huang kini diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.

Beliau berdagang cip yang menjadi taruhan AS dalam perlumbaan AI, tetapi pada masa yang sama hatinya pula dikatakan terpaut kepada seorang wanita yang mempunyai kaitan dengan China. Keadaan ini berpotensi mencetuskan krisis rumah tangga.

**media[3708355]**

Ketika Donald Trump bersiap untuk menghadiri persidangan kemuncak Asia-Pasifik di China bulan ini, muncul pula laporan media AS mengenai teman wanita Jensen Huang tersebut.

Siapa yang membocorkan maklumat itu masih belum diketahui. Mungkin juga pendedahan tersebut ada kaitan dengan persidangan berkenaan. Barangkali ada pihak yang tidak mahu Nvidia dilihat terlalu rapat dengan Trump.

Pengajaran yang boleh diambil ialah, jika mahu bermain dalam gelanggang yang taruhannya tinggi, kita perlu bersedia untuk rahsia dan kehidupan peribadi dikorek oleh pihak yang berasa tidak selesa dengan kehadiran atau kejayaan kita.

Ini bukan sekadar jalan cerita dalam filem, sebaliknya realiti yang berlaku di dunia sebenar. Lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan agensi perisikan Barat dan Timur yang sememangnya mempunyai kepakaran untuk mengesan serta mendedahkan kelemahan individu yang menjadi sasaran mereka.

Sebagai seorang pemain utama dalam industri teknologi, Jensen Huang perlu sedar bahawa individu sepertinya sentiasa berada di bawah perhatian ramai.

Memang terdapat beberapa bilionair teknologi Amerika yang mempunyai pasangan berketurunan China. Itu bukan satu kesalahan. Namun, seperti yang berlaku dalam kes Jensen Huang, perkara tersebut boleh dijadikan isu sekiranya terdapat kelemahan atau konflik kepentingan yang boleh dieksploitasi.

Sudah timbul pelbagai spekulasi bahawa isteri Jensen Huang akan memfailkan perceraian. Malah, ada dakwaan beliau bakal kehilangan sebahagian besar hartanya, termasuk pegangan saham dalam Nvidia. Nilai saham Nvidia juga dikatakan terjejas selepas berita tersebut tersebar dalam pasaran.

Dalam persaingan perniagaan yang sengit, segala kelemahan yang kita miliki boleh dijadikan modal oleh pihak yang mahu menghalang perkembangan perniagaan kita. Sebab itu, kita tidak boleh membiarkan kelemahan yang ada dieksploitasi oleh pihak lain.

Kadangkala kita sendiri tidak mengetahui siapa yang berasa tidak senang dengan kejayaan kita. Apatah lagi jika perniagaan yang diusahakan begitu kukuh sehingga sukar dicabar secara komersial.

Ketika itulah pelbagai perkara lain akan dicari untuk mencalarkan reputasi diri dan perniagaan yang dijalankan.

Di samping itu, kita juga perlu memiliki jati diri yang dipandu oleh hati yang ikhlas. Kita melakukan perkara yang betul kerana ia memang betul, bukannya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Begitu juga, kita menjauhi perkara yang batil bukan kerana takut diketahui orang, tetapi kerana ingin berlaku jujur kepada Pencipta.

Episod yang dikaitkan dengan Jensen Huang ini wajar dijadikan teladan. Apabila taruhan yang kita ambil begitu besar, jangan sesekali memandang ringan kelemahan yang ada.

Sedikit kecuaian sahaja boleh dijadikan senjata oleh pihak lain untuk menghalang perjalanan dan kejayaan yang sedang dibina.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved