“Jangan ingat sudah popular boleh perlekeh sesiapa” – Sultan Selangor Tegur Pemimpin Politik, Jangan Biadap

Politics
21 Aug 2023 • 6:24 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Sejak belakangan ini, timbul beberapa isu di mana ada segelintir ahli politik yang mengeluarkan kata-kata yang boleh mencetuskan kemarahan orang ramai.

Terbaharu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menegur segolongan masyarakat termasuk ahli-ahli politik agar memelihara adab dan tatasusila meskipun berbeza haluan politik.

Sebaliknya, titah baginda, tindakan sesetengah ahli politik menggunakan kata-kata kesat sehingga mengheret institusi raja ke dalam ceramah disifatkan sebagai sikap biadab.

image is not available

“Sikap biadap mereka ini telah melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara.

“Ingatlah jangan kerana kita menyangka bahawa kita cukup popular di kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing, malah sanggup pula hadir ke negeri Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas,” titah baginda.

Justeru, baginda menyeru kepada semua pihak agar menghentikan budaya caci-mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat.

“Ke mana hilangnya budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapa pun khususnya di khalayak ramai. Peliharalah adab dan susila kita apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang,” titah baginda.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi disiasat pihak polis berhubung ucapannya yang didakwa bersifat menghina Sultan Selangor.

Sumber: Astro Awani

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.