Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan isu makanan sebagai bahan polemik yang boleh mencetuskan perpecahan serta merosakkan imej negara.
“Saya menyeru kepada semua pihak supaya tidak menjadikan makanan sebagai punca polemik yang tidak perlu. Kepelbagaian masakan yang kita kongsi bukan untuk dipolitikkan, tetapi untuk diraikan. Ia bukan sesuatu yang memecah-belahkan, sebaliknya menyatukan kita di satu meja dalam suasana aman dan harmoni.
“Isu-isu yang mencetuskan perpecahan berupaya mencemarkan gambaran sebenar budaya Malaysia, menjejaskan sektor pelancongan serta merosakkan imej negara,” katanya.
Baca juga:
Beliau menegaskan, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan budaya merupakan antara kekuatan utama Malaysia yang sering menjadi tarikan pelancong luar. Justeru, sebarang polemik berkaitan makanan yang diperbesarkan boleh memberi kesan negatif terhadap persepsi pelawat dan keyakinan mereka terhadap negara ini.
Menurutnya, kepelbagaian masakan seharusnya diraikan sebagai simbol perpaduan dan identiti nasional, bukan dijadikan isu sensitif yang memecah-belahkan masyarakat, kerana ia akhirnya memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan dan imej Malaysia di mata dunia.
Sumber: Facebook Tiong King Sing
The post Jangan jadikan isu makanan polemik, rosakkan imej negara – Menteri appeared first on The Reporter.

