Jangan jadikan isu rasuah ‘senjata politik’ – Abdul Hadi

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 10:52 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan jadikan isu rasuah ‘senjata politik’ – Abdul Hadi

KOTA BHARU: Isu rasuah tidak seharusnya dijadikan senjata politik untuk menjatuhkan lawan, sebaliknya mesti dilihat sebagai kemungkaran yang wajib dicegah.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan terpilih terhadap pihak lawan sedangkan salah laku dalam kalangan sendiri dibiarkan, hanya mencetuskan ketidakadilan termasuk membabitkan penerima, pemberi dan perantara rasuah.

“Malangnya di Malaysia, isu rasuah sering dijadikan modal politik untuk menjatuhkan lawan, bukan sebagai kemungkaran yang wajib dicegah.

“Keadaan ini berlaku apabila tindakan diambil secara terpilih terhadap pihak lawan, sedangkan salah laku dalam kalangan sendiri dibiarkan, sama ada melibatkan penerima rasuah, pemberi rasuah mahupun perantara yang mengatur urusan rasuah,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, kepincangan dalam pengurusan dana awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak dinafikan berlaku dan sangat dikesali.

Katanya, kes berkenaan perlu dibawa ke mahkamah apabila terdapat bukti mencukupi, bukannya dibicarakan melalui media atau pentas politik.

“Apatah lagi menjadi bahan kempen pilihan raya untuk mencipta persepsi buruk seperti isu RCI Tabung Haji,” ujarnya.

Sementara itu, beliau mendakwa kedudukan Islam dan umatnya berada dalam keadaan paling berbahaya ketika pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai oleh kumpulan bukan Islam dan menjadi ancaman kepada maqasid al-syariah.

Katanya, dalam menghadapi keadaan sedemikian, tindakan untuk menolak kemudaratan yang besar hendaklah diutamakan.

Beliau berkata, kaedah berkenaan adalah pendekatan daripada fiqah Islam, siasah syar‘iyyah dan maqasid al-syariah yang termasuk dalam aspek tafaqquh, iaitu pemahaman yang betul terhadap urusan al-din.

“Apabila menghadapi bahaya yang lebih besar dan akibatnya yang lebih parah, maka hendaklah mendahulukan langkah penolakan bahaya tersebut,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan jadikan isu rasuah ‘senjata politik’ – Abdul Hadi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved