Jangan jadikan kuasa kerajaan alat sekat demokrasi – Gerakan

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 4:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan jadikan kuasa kerajaan alat sekat demokrasi – Gerakan

PETALING JAYA: Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila ia menimbulkan persepsi bahawa kuasa pentadbiran berpotensi digunakan untuk menyekat perjuangan pembangkang.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, PN bukan sekadar gabungan politik, sebaliknya merupakan wadah perjuangan yang membawa suara, harapan dan kepercayaan jutaan rakyat Malaysia yang menuntut sebuah kerajaan bertanggungjawab serta sistem semak dan imbang yang berkesan.

Beliau berkata, apabila sebuah gabungan politik yang mewakili suara jutaan rakyat berdepan tindakan pentadbiran sedemikian, persoalan yang perlu dijawab adalah sama ada prinsip demokrasi dan kebebasan berpersatuan benar-benar dihormati atau hanya dilaungkan apabila menguntungkan pihak tertentu.

“Jangan sampai rakyat membuat kesimpulan bahawa apabila pembangkang semakin kuat, kuasa kerajaan digunakan untuk melemahkan kedudukannya.

“Dalam keadaan rakyat sedang dihimpit peningkatan kos sara hidup, tekanan ekonomi dan kebimbangan terhadap masa depan keluarga, kerajaan sepatutnya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penyelesaian masalah rakyat, bukannya membiarkan tindakan pentadbiran yang menjejaskan kedudukan pembangkang mencetuskan keresahan serta ketidakpastian politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dominic, demokrasi bukan sekadar menentukan pihak yang memenangi pilihan raya, sebaliknya turut menguji sejauh mana kerajaan menghormati hak mereka yang mempunyai pendirian berbeza.

Beliau berkata, kekuatan sesebuah kerajaan tidak seharusnya diukur melalui kemampuan menyekat lawan politik tetapi keberanian menghormati perbezaan pendapat dan mempertahankan hak demokrasi rakyat.

“Jika kebebasan politik hanya dihormati apabila seseorang berada di pihak kerajaan, apakah ertinya reformasi dan demokrasi yang selama ini dilaungkan?

“Kami tidak meminta layanan istimewa. PN hanya menuntut keadilan yang sama,” katanya.

Dominic berkata, Gerakan tidak akan berdiam diri apabila prinsip keadilan, kebebasan berpersatuan dan hak demokrasi dipersoalkan.

Katanya, sebagai parti komponen PN, Gerakan akan terus berdiri teguh bersama rakan gabungan bagi mempertahankan hak, maruah serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

“PN akan meneruskan perjuangan secara berprinsip, tegas dan berlandaskan undang-undang, termasuk menggunakan segala saluran perundangan yang bersesuaian serta proses mahkamah untuk mencabar keputusan pembatalan demi mendapatkan keadilan,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan supaya mendengar suara rakyat, menghormati kebebasan berpolitik dan tidak mengkompromikan prinsip keadilan demi kepentingan politik.

“PN mungkin berdepan cabaran tetapi perjuangan membela rakyat tidak akan terhenti dengan sebarang keputusan pentadbiran.

“Kami tidak akan menyerah, kami tidak akan berdiam diri dan kami tidak akan berundur daripada mempertahankan prinsip demokrasi serta keadilan. Selagi suara rakyat perlu dibela, selagi itulah perjuangan ini akan diteruskan,” katanya. –UTUSAN

The post Jangan jadikan kuasa kerajaan alat sekat demokrasi – Gerakan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved