Jangan jadikan RoS ‘senjata politik’ sekat kemaraan PN - Pejuang

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 3:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan jadikan RoS ‘senjata politik’ sekat kemaraan PN - Pejuang
Pejuang menggesa supaya RoS tidak dijadikan ‘senjata politik’ untuk menyekat kemaraan PN

SHAH ALAM – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menggesa supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak dijadikan ‘senjata politik’ untuk menyekat kemaraan Perikatan Nasional (PN).

Pejuang mendakwa tindakan tersebut berlaku ketika PN dikatakan semakin mendapat sokongan rakyat, manakala sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) pula semakin menurun.

“Secara tiba-tiba, sehari selepas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, PN yang dijangka menerima sokongan kuat daripada rakyat dan pengundi di negeri itu digantung.

“Terlalu banyak persoalan yang timbul susulan tindakan RoS ini yang perlu dijawab,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, RoS memaklumkan bahawa PN dikenakan perintah penggantungan semua kegiatan berkuat kuasa Rabu.

Menurut RoS, notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] bertarikh 22 September 2026 telah dikeluarkan kepada PN dan gabungan itu diberikan tempoh yang munasabah untuk menjawab notis berkenaan.

Sehubungan itu, Pejuang yang merupakan salah satu parti komponen PN menuntut penjelasan lanjut berhubung tindakan tersebut.

“Peraturan yang mana dikatakan telah dilanggar? Apakah perbuatan yang didakwa masih berterusan?

“Mengapa aduan yang masih menunggu jawapan daripada PN memerlukan semua aktiviti gabungan itu dihentikan serta-merta?

“Siaran media RoS tidak menjawab persoalan tersebut, sebaliknya meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi,” katanya.

Menurut Pejuang, RoS sepatutnya mengurangkan ruang kepada spekulasi dengan menjelaskan secara terperinci alasan di sebalik tindakan penggantungan yang melibatkan keseluruhan gabungan tersebut.

“Rakyat tidak berspekulasi apabila mereka mempersoalkan penggunaan kuasa yang memberi kesan kepada sebuah gabungan pembangkang.

“Mereka menuntut akauntabiliti,” katanya.

Oleh itu, Pejuang menggesa RoS memperincikan pelanggaran yang didakwa berlaku, menjelaskan keperluan menggantung semua kegiatan PN serta menarik balik perintah penggantungan tersebut sementara penjelasan daripada PN dipertimbangkan secara adil.

“Pejuang juga menyokong dan akan terlibat dalam tindakan undang-undang yang bersesuaian bagi mencabar perintah penggantungan atau apa-apa perintah susulan yang berkaitan dengan perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun, parti itu menegaskan bahawa mereka tidak mempertikaikan hak mana-mana pihak untuk membuat aduan atau kuasa RoS untuk menjalankan siasatan.

“Namun, aduan bukanlah satu keputusan bersalah.

“RoS perlu menjelaskan mengapa tindakan terhadap keseluruhan PN diperlukan sedangkan penjelasan yang diminta masih belum dinilai.

“Kesan perintah ini turut melibatkan parti-parti komponen. RoS perlu menjelaskan bagaimana kepentingan semua parti komponen diambil kira sebelum keputusan tersebut dibuat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pejuang turut menggesa Menteri Dalam Negeri menyatakan secara terbuka sama ada beliau atau mana-mana pihak dalam kerajaan pernah mengarahkan atau mempengaruhi tindakan RoS terhadap PN.

Menurut parti itu, menteri berkenaan bertanggungjawab memastikan agensi di bawah kementeriannya berfungsi secara bebas, khususnya apabila keputusan yang dibuat memberi kesan langsung kepada landskap politik negara.

Pejuang berpandangan bahawa walaupun RoS telah menjelaskan PN belum dibatalkan pendaftarannya, persoalan utama yang timbul ialah mengapa gabungan tersebut perlu digantung sebelum keseluruhan proses itu dimuktamadkan.

“Jika tindakan ini benar-benar berasaskan undang-undang dan bukti, bentangkan alasannya.

“Jangan meminta rakyat menerima sesuatu keputusan tanpa penjelasan yang jelas ketika hak sebuah gabungan pembangkang sedang terjejas,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved