Jangan jadikan PAS ‘kambing hitam’ Takiyuddin bidas Singapura

LocalPolitics
15 Oct 2025 • 5:54 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - PAS menolak sekeras-kerasnya cubaan untuk menjadikan parti berkenaan sebagai kambing hitam bagi mengembangkan agenda politik dalaman di Singapura, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut Takiyuddin, parti itu tidak akan membiarkan naratif palsu berleluasa yang menggambar komen biasa rentas sempadan biasa disensasikan sebagai ancaman keselamatan demi keuntungan jangka pendek.

Jelasnya, tanda kematangan sesebuah negara adalah keupayaannya untuk berwacana secara yakin dan jelas.

“Adalah tidak jujur untuk mencadangkan pengundi Singapura begitu mudah dipengaruhi oleh pandangan luar sehingga kehendak pilihan raya mereka perlu ‘dilindungi’ daripada pandangan yang boleh mereka nilai secara kritikal.

“Menyalahkan pihak luar atas perdebatan dalaman adalah taktik klasik pengalihan politik yang mudah untuk mengalih tumpuan daripada isu-isu tempatan yang sukar,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam, telah memberi amaran kepada PAS agar tidak mencampuri wacana politik republik itu, sambil menegaskan bahawa Singapura tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk campur tangan asing dalam urusan dalaman negaranya.

Shanmugam turut berharap supaya parti-parti politik dapat segera menolak sebarang percubaan seumpamanya untuk campur tangan dalam proses politik Singapura.

Mengulas lanjut, Takiyuddin memberitahu, Singapura menempatkan dirinya sebagai hab global di mana idea dan pandangan pastinya melintasi sempadan.

“Mengklasifikasikan kenyataan dalam talian tanpa sumber, tindakan, penyelarasan atau arahan sebagai 'campur tangan' adalah keterlaluan, menjejaskan makna sebenar istilah tersebut dan membuka ruang untuk menapis wacana awam yang sah.

“Jika keterhubungan digital dianggap sebagai saluran campur tangan, maka tindak balas logik satu-satunya ialah memutuskan hubungan dengan dunia — satu pendirian yang tidak mampan bagi ekonomi terbuka yang bergantung kepada aliran modal, bakat dan maklumat,’’ tambahnya.

Takiyuddin turut menyatakan komitmen PAS menghormati kedaulatan yang menjadi panduan dalam semua penglibatan parti berkenaan, yang dilakukan menerusi saluran rasmi dan sewajarnya.

“Prinsip ini membolehkan kami bersuara dalam hal berkaitan agama, keadilan dan kebajikan sosial sambil memastikan kami tidak mencampuri proses pilihan raya atau kedaulatan mana-mana negara.

“Justeru jangan cipta musuh yang tidak wujud atau memperalatkan undang-undang untuk menekan kebebasan bersuara,’’ katanya. - 15 Oktober, 2025

The post Jangan jadikan PAS ‘kambing hitam’ Takiyuddin bidas Singapura appeared first on Scoop.