'Jangan jadikan saya kambing hitam' - Bekas MB Perlis nafi hasut ahli boikot Pas

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 3:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Jangan jadikan saya kambing hitam' - Bekas MB Perlis nafi hasut ahli boikot Pas
Mohd Shukri Ramli

KANGAR - "Kelemahan jentera parti atau kurangnya sokongan ahli di peringkat akar umbi selepas berlaku perubahan kepimpinan negeri di Perlis tidak wajar salahkan saya."

Perkara tersebut ditegaskan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang menjelaskan beliau juga tidak pernah menghasut ahli supaya memboikot parti, meninggalkan perjuangan atau melemahkan jentera seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Menurutnya, selepas tidak lagi memegang jawatan Menteri Besar dan jawatan dalam parti, beliau hanya menerima kunjungan rakan-rakan serta ahli yang datang meluahkan rasa kecewa terhadap perkembangan berlaku.

"Hari ini, mereka telah memperoleh jawatan yang diinginkan. Namun apabila berdepan dengan kekurangan tenaga kerja, kelemahan jentera atau kurangnya sambutan daripada ahli, nama saya pula yang dipersalahkan.

"Saya dituduh menghasut ahli dan menjadi punca kepada keadaan yang berlaku. Tuduhan ini tidak adil. Jangan jadikan saya kambing hitam," katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu berkata, sekiranya benar sokongan di peringkat akar umbi semakin lemah, pimpinan perlu melakukan muhasabah dan mengenal pasti punca sebenar tanpa terus menyalahkan individu tertentu.

Beliau turut menafikan dakwaan dirinya menjadi dalang yang memecah-belahkan parti.

"Kalau ada kelemahan dalam parti, jangan terus mencari dalang. Bermuhasabahlah. Tanya diri sendiri sama ada tindakan, cara atau keputusan yang dibuat telah mengecewakan ahli sendiri dan rakyat umumnya," ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Mohd Shukri mengakui masih berasa terkilan terhadap individu yang menandatangani akuan bersumpah (SD) sehingga membawa kepada penyingkirannya sebagai Menteri Besar, namun menerima perkara itu sebagai ketentuan ALLAH SWT.

"Sakit hati terhadap mereka yang menandatangani SD itu memang ada. Saya tidak mahu berpura-pura, namun rasa itu tidak bermakna saya mahu bermusuh selama-lamanya," katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya semua pihak memikirkan kepentingan parti serta persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), selain menggesa mereka yang didakwa memberi sokongan kepada gerakan menjatuhkannya turut berani memikul tanggungjawab.

Menurutnya, beliau menerima segala teguran terhadap kelemahan dirinya, namun berharap masyarakat dan ahli parti mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak sebelum membuat sebarang penilaian.

Beliau turut mendedahkan pernah berdepan tuduhan zina yang disifatkannya sebagai fitnah, namun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Ini belum lagi saya ceritakan tuduhan zina yang dilemparkan kepada saya. Nauzubillah. Tak mampu saya nak menulis lagi. Saya berhenti dulu setakat ini," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved