KEMATIAN seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar mengundang perhatian masyarakat, namun perkembangan kes itu perlu ditangani dengan penuh berhemah.
Dalam keadaan ini, orang ramai perlu mengelakkan spekulasi atau membuat andaian sendiri berhubung kejadian yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Lebih penting, jangan jadikan media sosial sebagai ruang menyebarkan dakwaan yang belum dipastikan kesahihannya.
Perkongsian sedemikian boleh mengundang pelbagai tanggapan, malah berisiko mengguris perasaan keluarga mangsa yang sedang menghadapi kehilangan insan tersayang.
Setiap komen dan perkongsian perlu mengambil kira sensitiviti keluarga, terutama apabila melibatkan kejadian yang menyentuh kehidupan peribadi mereka.
Orang ramai juga perlu membezakan antara maklumat yang disahkan dengan cerita yang sekadar berlegar di media sosial.
Dalam kes ini, pihak polis sudah mendapatkan keterangan beberapa pelajar dan guru serta meneliti rakaman kamera litar tertutup bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan tanpa dipengaruhi pelbagai andaian atau dakwaan yang tidak berasas.
Elakkan juga menyebarkan gambar, maklumat peribadi atau kandungan yang boleh menjejaskan privasi keluarga mangsa.
Apa yang diperlukan ketika ini ialah sikap bertanggungjawab dan empati masyarakat dengan menghormati keluarga mangsa serta menunggu hasil siasatan pihak berkuasa.






