
POLITIK sememangnya medan perbezaan, ada yang menyokong kerajaan, ada yang taat setia dengan pembangkang dan ada yang memilih untuk mengambil pendirian bebas dalam menilai sesuatu isu.
Perbezaan itu bukan masalah. Malah, dalam sebuah demokrasi, perbezaan pandangan penting untuk memastikan setiap dasar, keputusan dan tindakan kerajaan terus diperdebatkan serta dinilai.
Yang menjadi persoalan ialah apabila persaingan politik mula dibina atas kemarahan, kebencian dan ketaasuban sehingga lawan politik tidak lagi dilihat sebagai pihak yang berbeza pendapat, sebaliknya dianggap sebagai musuh.
Dalam keadaan itu, politik tidak lagi sekadar pertandingan mendapatkan mandat rakyat tetapi boleh berubah menjadi ruang yang menyemarakkan permusuhan dan menghakis kepercayaan antara masyarakat.
Lebih membimbangkan, perkembangan media sosial menjadikan setiap kenyataan politik mampu tersebar dalam sekelip mata termasuk kenyataan yang dibuat tanpa pertimbangan atau konteks yang lengkap.
Satu kenyataan yang pada asalnya bertujuan menyerang lawan politik boleh dipetik, dipotong, dikongsi berulang kali dan akhirnya mencetuskan reaksi yang jauh lebih besar daripada maksud asalnya. Keadaan ini boleh membina naratif yang tidak tepat, menimbulkan fitnah dan salah tanggapan masyarakat.
Malah ada kenyataan mampu mendorong tindakan ekstremisme dan terrosism dalam kalangan pengikut fanatik sehingga menggangu keharmonian negara dan ketenteraman awam di kalangan rakyat negara ini.
Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mohamad Tawfik Yaakub berkata, kebebasan bersuara perlu datang bersama tanggungjawab dengan kritikan, perbezaan pendapat dan perdebatan dilakukan berasaskan fakta serta adab.
“Sungguh kita bimbang apabila sesuatu kenyataan politik atau perbezaan pendapat ditafsir secara keterlaluan oleh kelompok tertentu.
“Jika sentimen kebencian, permusuhan dan ketaksuban terus dinormalisasikan, situasi ini boleh membuka ruang kepada pengaruh pemikiran ekstrem yang boleh mendorong kepada tindakan bertentangan dengan keamanan dan keselamatan masyarakat,” katanya.
Perkara ini wajar diberi perhatian kerana sejarah membuktikan ketegangan dalam perpaduan kaum tidak semestinya bermula dengan tindakan besar. Ada kalanya bermula dengan kata-kata yang diulang terlalu lama sehingga kebencian dianggap perkara biasa.
Atas sebab itu, retorik politik perlu mempunyai sempadan. Kritikan terhadap dasar, prestasi kerajaan dan keputusan pemimpin adalah sebahagian daripada proses demokrasi tetapi tidak seharusnya diterjemahkan menjadi serangan peribadi atau usaha memburukkan keseluruhan kelompok penyokong.

MENANG TANPA MEMECAH
Pemimpin politik mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dalam perkara ini kerana setiap kenyataan mereka mempunyai pengaruh terhadap penyokong dan masyarakat.
Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, ahli politik perlu memahami batas dalam menyampaikan kritikan kerana satu kenyataan yang dibuat tanpa pertimbangan boleh menyalakan api emosi yang sukar dipadamkan.
“Yang lebih penting, jangan ada dua darjat dalam menilai kenyataan politik. Jika kita menolak pelabelan dan penghinaan daripada satu pihak, prinsip yang sama mesti digunakan terhadap semua pihak.
“Jangan kerana mahu menang sorak, kampung tergadai. Jangan kerana mahu menambah penyokong, perpaduan rakyat menjadi taruhan,” katanya.
Prinsip itu penting dalam memastikan politik tidak menjadi permainan yang hanya menguntungkan satu pihak untuk tempoh tertentu, tetapi meninggalkan kesan jangka panjang kepada masyarakat.
Jika sesuatu kenyataan dianggap boleh diterima hanya kerana daripada pemimpin atau parti yang disokong, sedangkan kenyataan sama dikutuk apabila datang daripada pihak lawan, maka politik akan terus terperangkap dalam budaya dua darjat.
Rakyat juga mempunyai peranan kerana dalam era maklumat tanpa sempadan, masyarakat perlu mempunyai keupayaan menilai sesuatu kenyataan sebelum mempercayai, berkongsi atau bertindak balas terhadapnya.
Tidak semua perkara yang tular benar dan tidak semua perkara yang membangkitkan emosi perlu diberikan reaksi segera.
Kematangan demokrasi sebenarnya bukan diukur berdasarkan sejauh mana seseorang mampu mempertahankan parti yang disokong tetapi sejauh mana dia mampu menerima perbezaan tanpa menganggap pihak yang berbeza sebagai ancaman.
Kerajaan boleh bertukar, pemimpin boleh berganti dan parti boleh berubah kedudukan tetapi kepercayaan rakyat serta hubungan dalam masyarakat tidak boleh dibina semula dalam tempoh yang singkat sekiranya telah rosak akibat persengketaan politik.
Politik akhirnya perlu kembali kepada tujuan asalnya iaitu mencari penyelesaian terhadap masalah rakyat, menawarkan dasar yang lebih baik dan mendapatkan mandat untuk mentadbir negara.
Menang dalam politik mungkin memberikan kepuasan untuk satu tempoh masa tetapi kemenangan yang dibina atas perpecahan tidak pernah benar-benar menjadi kemenangan kepada negara.
Seperti kata Sivamurugan, “politik sepatutnya mengurus percanggahan, bukan membakar perbezaan.”
Dalam demokrasi, kita mungkin berbeza pilihan, pendapat dan pendirian. Namun, jangan kerana mahu menang politik, kita akhirnya kalah dalam perkara yang lebih besar iaitu kepercayaan, kestabilan dan perpaduan rakyat.
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.
The post Jangan menang politik, kalah perpaduan appeared first on Utusan Malaysia.



