'Jangan menghukum semua pemilik RXZ'

14 Jul 2026 • 9:57 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Jangan menghukum semua pemilik RXZ'
Ramai pemilik dan peminat RXZ menjadikan motosikal sebagai medium mengeratkan ukhuwah, melaksanakan aktiviti kebajikan dan membina persaudaraan.
Image from: 'Jangan menghukum semua pemilik RXZ'
Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi

KOTA BHARU - Masyarakat diingatkan supaya tidak menghukum atau menghina seluruh komuniti pemilik Yamaha RXZ susulan kemalangan tragis yang meragut empat nyawa baru-baru ini.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, tindakan segelintir penunggang yang merempit sememangnya wajar ditegur kerana membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain, namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk melabel keseluruhan komuniti permotoran.

"Saya sendiri berada di lokasi kemalangan membabitkan hampir 30 motosikal RXZ yang menyebabkan empat kematian, selain mengakibatkan kesesakan lalu lintas lebih sejam.

"Keadaan ketika itu cukup memilukan, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan ada anak-anak kecil yang kehilangan ayah dalam sekelip mata.

"Kita semua berhak marah. Kadang-kadang rasa marah itu bercampur dengan sedih. Namun, jangan sesekali kemarahan itu bertukar menjadi penghinaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, adalah tidak adil menghukum seluruh komuniti permotoran hanya kerana perbuatan segelintir individu.

Ujarnya, ramai pemilik dan peminat RXZ menjadikan motosikal sebagai medium mengeratkan ukhuwah, melaksanakan aktiviti kebajikan dan membina persaudaraan.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat penunggang RXZ maut nahas 12 motosikal dan kereta di LPT

Empat maut nahas konvoi RXZ: Lebih 30 penunggang motosikal terbabit, 20 cedera - Polis

"Sebagai contoh, Kelab Pemilik Yamaha RXZ Kelantan bersama kerajaan negeri berjaya menganjurkan program RXZ Forever Legen yang menghimpunkan puluhan ribu peserta dari seluruh negara dan menerima pujian JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) Kelantan kerana disiplin peserta yang tinggi, pergerakan teratur serta tiada unsur provokasi sepanjang program berlangsung," katanya.

Mohd Firduas memberitahu, kejayaan program itu membuktikan minat terhadap motosikal tidak semestinya sinonim dengan budaya rempit, sebaliknya komuniti permotoran mampu menjadi contoh kepada masyarakat apabila dipupuk dengan nilai disiplin dan kepimpinan yang baik.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tanggungjawab pemimpin, khususnya dalam kalangan anak muda, bukan sekadar menghukum atau mengecam, tetapi terus mendidik, menegur dan membimbing peminat motosikal supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta mengutamakan keselamatan.

"Menegur itu tanda sayang. Menghina pula hanya akan menjarakkan hati dan menutup ruang untuk perubahan," katanya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved