Jangan mudah terpedaya dengan gaji lumayan

LocalBusiness & Finance
15 Aug 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan mudah terpedaya dengan gaji lumayan

PETALING JAYA: Gaji lumayan mencecah belasan ribuan ringgit semata-mata tidak boleh dijadikan sandaran untuk seseorang individu terus menerima tawaran pekerjaan lebih-lebih lagi jika ia berpangkalan di luar negara.

Sebaliknya, seseorang individu perlu meneliti dua aspek penting sebelum menerima atau menolak sesuatu tawaran pekerjaan iaitu tahap pendidikan dan kelayakan diri selain menyelidik syarikat yang menawarkan pekerjaan tersebut.

Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA), Datuk Foo Yong Hooi berkata, kelayakan peribadi dari segi pendidikan dan kemahiran merupakan aspek penting untuk memperoleh suatu tawaran pekerjaan apatah lagi ia melibatkan syarikat dari negara luar.

Katanya, sekiranya seseorang itu tidak mempunyai kelayakan pendidikan mahu pun kemahiran setara dengan bidang pekerjaan serta gaji ditawarkan, ia merupakan petanda mencurigakan.

“Kita harus tanya diri sendiri, adakah mempunyai kelayakan pendidikan yang sepadan dengan pekerjaan ditawarkan. Jika kelulusan rendah tetapi pekerjaan ditawarkan dijanjikan gaji tinggi, kesahihan peluang itu perlu diselidiki.

“Jangan terus terpedaya dengan janji-janji manis ejen yang menawarkan gaji lumayan dan sebagainya namun akhirnya ditipu oleh sindiket,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, latar belakang syarikat yang menawarkan pekerjaan juga harus diselidiki terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan lebih-lebih lagi ia melibatkan negara asing.

Katanya, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mensahihkan kewujudan syarikat tersebut termasuklah melalui laman sesawang rasmi organisasi dan sebagainya.

“Biasanya, syarikat yang mengambil pekerja dari luar negara mempunyai pendedahan, sekiranya ia meragukan sebaiknya elakkan daripada menerima tawaran diberikan,” katanya.

Yong Hooi berkata, di Malaysia terdapat syarikat Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang dikawal selia oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melalui Akta Agensi Pekerjaan

Swasta 1981, menawarkan khidmat mencari kerja di luar negara.

Katanya, syarikat yang berdaftar di bawah JTKSM dengan lesen B dan C dibenarkan menawarkan khidmat mencari pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang berminat bekerja di luar negara.

“Syarikat yang mempunyai lesen B dan C biasanya akan meletakkan wang cagaran bernilai RM100,000 hingga RM250,000 kepada JTKSM supaya sekiranya ada isu berkaitan pekerjaan ditawarkan contohnya ditipu, tidak seperti dijanjikan, gaji tidak dibayar dan sebagainya, calon akan menerima pampasan daripada cagaran tersebut.

“Jadi, jika sesebuah APS itu yang mencarikan pekerjaan kepada mana-mana calon di Malaysia, sebarang isu yang timbul adalah tanggungjawab mereka seperti memastikan pekerjaan itu adalah tulen,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan isu penipuan pekerjaan tidak wujud dan sebagainya di luar negara biasanya melibatkan ejen tidak sah sekali gus mengakibatkan isu seperti rakyat Malaysia terkandas di Myanmar bekerja sebagai scammer berlaku.

“Jika menggunakan khidmat APS, mereka ini lebih terjamin, sekiranya apa-apa berlaku, keluarga boleh rujuk agensi tersebut dan mereka biasanya tidak terlibat dengan syarikat scammer,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan mudah terpedaya dengan gaji lumayan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved