
KUALA LUMPUR – Penyertaan pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam program misi meraih emas sulung Olimpik, Road to Gold (RTG), sepatutnya tidak dipersoalkan.
Penyelaras program RTG, Stuart Ramalingam berkata, ia berdasarkan kedudukan Zii Jia dan keputusan dibuat badan badminton negara, iaitu Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Zii Jia kini menduduki tempat keempat di dunia. Jadi, kita tidak boleh terlepas pandang penyertaannya dalam senarai RTG.
“Kami tahu dia mempunyai isu lepas yang mungkin dalam ingatan ramai, tetapi perkara itu sedang diselesaikan untuk memastikan peluang Zii Jia di Sukan Olimpik terbuka.
“Saya juga berpendapat penyertaan Zii Jia tidak perlu dipertikaikan kerana dia adalah pemain badminton perseorangan nombor 1 di Malaysia,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Stuart berkata, penglibatan Zii Jia sebagai atlet perseorangan bebas menunjukkan keterbukaan program RTG dalam menawarkan sokongan kepada atlet berbakat untuk memenangi pingat emas Olimpik.
Beliau menegaskan, keputusan sedemikian sudah diluluskan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
“Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sendiri sudah mengemukakan nama-nama atlet bagi memastikan peluang turut diberikan kepada atlet badminton bebas,” tambah Stuart.

Selain Zii Jia, tiga beregu profesional, dengan dua daripada kem beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai serta beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi adalah antara 15 atlet disenaraikan dalam program RTG.
Program RTG ialah projek kebangsaan yang dilancarkan untuk menyelaraskan usaha negara dalam merangkul pingat emas Olimpik pertamanya.
Rangka kerja itu membabitkan Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
Stuart yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia berkata demikian ketika menjawab soalan media, sama ada Zii Jia masih dianggap calon terbaik untuk memenangi pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Persembahan Zii Jia, 25, baru-baru ini dan keputusannya untuk tidak mengupah jurulatih profesional, menerima ulasan bercampur-baur.
Sejak meninggalkan pasukan negara untuk menjadi pemain badminton profesional, dia mendapatkan bimbingan daripada mantan jurulatih perseorangan wanita, Indra Wijaya menyertai kelab badmintonnya pada Mac tahun lalu.
Namun, kurang setahun kemudian, pemain berasal dari Kedah itu memutuskan untuk memecat jurulatih Indonesia terbabit pada November lalu tanpa mengikut perjanjian, sekali gus menyaksikan Indra menyaman Zii Jia – The Vibes, 12 April 2023
