Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Sabah supaya lebih teliti memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dengan menekankan hanya calon yang bersih dan berwibawa mampu membawa negeri itu ke arah pembangunan.
Perdana Menteri menegaskan, pemimpin yang mahu diberi mandat tidak boleh terbabit dengan salah guna kuasa atau mengkhianati amanah rakyat. Katanya, kebersihan integriti dan kemampuan bekerja bersama Kerajaan Persekutuan adalah asas utama membina masa depan lebih baik untuk Sabah.
Kepimpinan jadi penentu hala tuju negara
Anwar turut menekankan bahawa kejayaan sesebuah kerajaan bergantung kepada kualiti kepimpinan. Beliau memberi contoh projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) yang sebelum ini tertangguh akibat kelemahan tadbir urus. Menurutnya, perkara sebegini tidak boleh berulang jika Malaysia mahu muncul sebagai ekonomi paling berjaya di rantau Asia Tenggara.
Baca juga:
“Pemimpin mesti jelas dasar, supaya pelabur yakin datang ke Malaysia dan pada masa sama dasar itu menjaga kebajikan rakyat,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Pilihan rakyat tentukan wajah Sabah
Menyentuh PRN Sabah, Anwar menegaskan parti yang bertanding sama ada nasional atau tempatan bukan isu utama. Yang penting, katanya, calon yang dipilih mestilah bersih, boleh bekerja dan tidak menyeleweng.
“Yang bertanding ini ialah orang Sabah, sama ada parti itu parti nasional atau parti Sabah, itu pilihan rakyat untuk menentukan kerajaan negeri.
“Oleh itu, yang patut kita pilih orang (calon) itu mestilah baik, *orang itu jangan curi (duit rakyat)… orang itu boleh kerja dengan baik, boleh kerja dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
The post Jangan pilih calon curi duit rakyat – Pesan Anwar kepada rakyat Sabah appeared first on The Reporter.
