
Tapi kenapa agaknya ya?
Jangan Pilih IPTA Sabah Ini Dalam UPU – Tular Amaran Mahasiswa Ini Di TikTok. Platform media sosial sekali lagi menjadi gelanggang luahan rasa, kali ini menerusi hantaran tular seorang pengguna TikTok, @qisaqai. Gadis ini tampil dengan nasihat yang agak berani: gesaan kepada bakal mahasiswa untuk tidak menyenaraikan sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Sabah dalam pilihan UPU mereka.
Puncanya? Isu kemudahan asas yang didakwa tidak memuaskan.

Kemudahan asas gagal dipenuhi
Menurut @qisaqai, pengalaman belajar di universiti tersebut dicemari oleh masalah infrastruktur yang kritikal. Beliau menasihatkan pelajar lepasan matrikulasi, asasi, dan SPM agar mempertimbangkan IPTA lain yang menawarkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif. Aduan utama tertumpu kepada isu keperluan asas seperti bekalan air yang terganggu, sambungan Wi-Fi yang tidak stabil, serta fasiliti lain yang dilaporkan rosak dan tidak diselenggara dengan baik.
Lebih memeranjatkan, mahasiswa ini turut mendakwa wujudnya ‘konspirasi senyap’ dalam kalangan sesetengah senior dan alumni. Mereka didakwa sengaja ‘memejam sebelah mata’ terhadap isu-isu ini, semata-mata untuk menarik lebih ramai pelajar baharu mendaftar masuk, sekaligus menjaga reputasi universiti. Dalam hantaran sama, @qisaqai menempelak golongan ini kerana tidak bersikap telus, menegaskan bahawa pelajar baharu berhak mendapat pengalaman pembelajaran yang selesa tanpa dibelenggu masalah asas.

Kritikan tidak terhenti di situ. Mahasiswa ini turut mempersoalkan perbelanjaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ke United Kingdom yang dikatakan mencecah RM200,000, mengaitkannya dengan kekurangan dana untuk penyelenggaraan fasiliti asas. Beliau secara sinis mencadangkan agar pihak universiti menukar motto ‘Determined to be Excellent’ jika keperluan paling asas pelajar pun gagal dipenuhi.
“Lebih Baik Pergi ke IPTA di Sarawak Kalau Nak Dekat” – Netizen
Hantaran tersebut nyata mencetuskan perbincangan hangat di ruangan komen. Ada netizen yang tampil memberi cadangan alternatif IPTA yang lebih baik, manakala yang lain memberi bayangan tentang IPTA lain yang turut mempunyai masalah serupa dan patut dielakkan.

Signifikan sekali, ada komen daripada pelajar berasal dari Sabah sendiri yang mengakui tidak akan memilih IPTA tersebut walaupun lokasinya lebih dekat. Alasan mereka? Isu-isu berbangkit yang sama. Malah, ada yang menyatakan lebih rela memilih IPTA di negeri jiran, Sarawak, demi persekitaran pengajian yang lebih terjamin.




Isu ini sebenarnya membuka persoalan yang lebih besar: sejauh manakah institusi pengajian tinggi di Malaysia benar-benar menyediakan persekitaran yang kondusif untuk melahirkan graduan berdaya saing? Jika masalah semudah bekalan air pun masih menghantui kampus, ia menimbulkan keraguan terhadap komitmen terhadap kualiti pendidikan secara keseluruhan.
Adakah ini hanya isu terpencil atau gambaran masalah sistemik yang lebih meluas di sesetengah IPTA? Apa pula pandangan anda, terutamanya jika anda merupakan mahasiswa atau alumni universiti yang dimaksudkan? Kongsikan pendapat anda.
Ini pula spesis semut baharu yang dinamakan sempena nama pensyarah di Universiti Malaysia Sabah:




