KUALA LUMPUR – Anak Pahang di perantauan diseru agar terus mengekalkan hubungan dengan negeri asal walau di mana mereka berada.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hubungan tersebut penting bagi memastikan jati diri, nilai dan identiti anak negeri terus terpelihara.
“Beliau ingin berpesan agar tidak memutuskan hubungan dengan negeri asal dan walau sejauh mana melangkah, jangan melupakan tempat bermula.
“Kerana Pahang bukan sekadar tempat kita dilahirkan, tetapi tempat yang membentuk jiwa, nilai dan identiti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang Tahun 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di sini pada Sabtu.
**media[3489254]**
Wan Rosdy turut menzahirkan penghargaan kepada semua anak Pahang yang hadir memeriahkan majlis tersebut.
Menurutnya, penganjuran rumah terbuka itu yang memasuki edisi ketiga menunjukkan sambutan semakin menggalakkan selepas pertama kali diadakan di Stadium Titiwangsa pada 2024.
“Mudah-mudahan Aidilfitri ini membawa keberkatan, menguatkan silaturahim dan menyatukan kita semua dalam semangat kekeluargaan yang erat.
“Insya-Allah, dengan kebersamaan dan semangat yang kita ada hari ini, Pahang akan terus melangkah ke hadapan sebagai negeri yang makmur, sejahtera dan diberkati,” jelasnya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Pahang berbangga apabila Bandar Lipis dan Bandar Raub diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi tahun ini.
Ujarnya, pengiktirafan tersebut mencerminkan tahap kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Ini satu pengiktirafan yang cukup bermakna kerana kebahagiaan rakyat bukan datang daripada pembangunan yang besar semata-mata, tetapi daripada kehidupan yang lebih teratur, lebih selesa dan lebih sejahtera,” katanya.
