
PETALING JAYA – Pasangan suami isteri perlu mengamalkan komunikasi terbuka bagi mengelakkan konflik kewangan dalam rumah tangga seterusnya menyebabkan wanita hidup dalam ketakutan setiap kali mahu membeli barangan keperluan diri.
Kaunselor panel Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah, Dr. Azahar Che Latiff berkata, tindakan mengawal atau menyekat kewangan pasangan, termasuk tidak menyediakan wang untuk keperluan peribadi atau memarahi isteri secara keterlaluan ketika membeli barangan asas boleh menjadi satu bentuk keganasan ekonomi.
Menurutnya, keganasan ekonomi bukan sahaja menjejaskan kebebasan kewangan mangsa, malah boleh merosakkan kesejahteraan emosi dan meruntuhkan harga diri mereka.
“Apabila isteri sentiasa berada dalam ketakutan atau terpaksa meminta-minta bagi keperluan peribadi, keadaan ini mewujudkan ketidakseimbangan kuasa dalam hubungan.
“Situasi ini boleh mencetuskan tekanan emosi berpanjangan, rasa tidak dihargai serta membawa kepada kemurungan dan keretakan hubungan rumah tangga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut Pensyarah Kanan Program Psikologi Kaunseling Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, suami perlu membezakan antara perbelanjaan isi rumah, seperti barangan dapur, bil dan persekolahan anak-anak, dengan keperluan peribadi isteri, termasuk pakaian dan barangan kebersihan diri.
Jelasnya, penyediaan peruntukan kewangan khusus untuk keperluan peribadi isteri mengikut kemampuan dapat membantu memastikan keperluannya dipenuhi, manakala kekangan kewangan perlu dibincangkan secara berhemah dan bukannya melalui herdikan atau kawalan berlebihan.
“Sekiranya terdapat kekangan bajet, bincangkan keutamaan kewangan secara santun dan berhemah, bukan melalui gertakan atau kawalan berlebihan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan pasangan menetapkan masa khusus untuk membincangkan belanjawan keluarga selain berkongsi maklumat mengenai pendapatan, komitmen kewangan dan keperluan masing-masing.
Menurutnya, sikap saling mendengar tanpa menghakimi juga penting bagi mewujudkan suasana selamat supaya isteri tidak takut untuk menyuarakan keperluan atau pandangannya mengenai kewangan keluarga.
Sementara itu, Pakar Kaunseling, Keluarga dan Wanita, Dr. Raba’aton Adawiyah @ Robiah Mohd. Yusof berkata, komunikasi terbuka antara suami dan isteri merupakan antara langkah penting untuk menangani serta mengelakkan konflik rumah tangga daripada berlarutan.
Beliau berkata, ‘penderaan’ dalam keluarga bukan hanya bersifat fizikal, malah turut melibatkan emosi dan perasaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan pasangan.
“Isteri boleh berbincang dengan suami tentang keperluan diperlukan, manakala suami juga perlu berbincang dengan pasangan mengenai perkara yang diperlukan dalam rumah tangga,” katanya.
Katanya, komunikasi dua hala membolehkan pasangan memahami keperluan masing-masing sekali gus membantu mengurangkan perselisihan faham.
The post Jangan sampai isteri meminta-minta appeared first on Kosmo Online.

