'Jangan sesekali buang sampah dan malukan nama keluarga' - Kor Ming

LocalPolitics
29 Mar 2026 • 3:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pesalah buang sampah melaksanakan PKM. Gambar kecil: Kor Ming

SHAH ALAM - Penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) atas kesalahan pembuangan sampah kecil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bertujuan membanteras amalan pembuangan sampah di tempat dan jalan awam di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tabiat membuang sampah kecil jika tidak dibendung akan menyumbang kepada masalah besar seperti longkang tersumbat yang menjejaskan keselesaan komuniti setempat dan mengakibatkan banjir kilat di kawasan bandar.

Menurutnya, penguatkuasaan perintah itu juga seharusnya menjadi peringatan kepada masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan alam sekitar sekiranya tidak mahu berdepan tindakan yang boleh memalukan nama keluarga.

"Kerajaan berhasrat untuk mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan alam sekitar secara bersama.

"Jangan kita buang puntung rokok, tisu atau tin minuman di merata-rata tempat kerana ia bukan saja mencemarkan alam sekitar, malah menjatuhkan imej negara.

"Tangan yang membuang sampah, tangan yang perlu membersihkan. Jangan sekali kita buang sampah dan malukan nama keluarga sendiri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed memaklumkan, seramai 78 pesalah yang diarahkan mahkamah menjalani PKM telah melaksanakan hukuman tersebut secara serentak di enam negeri pada Sabtu.

Menurutnya, pelaksanaan PKM siri ketiga itu melibatkan negeri Kedah seramai 21 orang, Perlis (lima), Wilayah Persekutuan (26), Pahang (12), Negeri Sembilan (sembilan) dan Johor (lima).

Beliau berkata, antara lokasi terlibat di Pantai Murni, Yan; Dataran Sena, Kangar; Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Taman Tasik Bandar, Temerloh; Bandar Prima Senawang serta Kampung Senibong, Johor Bahru.

Mengulas lanjut Kor Ming berkata, perintah khidmat masyarakat tersebut menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan menyeluruh merangkumi siar kaki, jalan awam, sistem saliran, tandas awam, dan kawasan pantai.

Tambahnya, usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk membudayakan pengurusan sisa pepejal yang mampan sebagai antara teras aspirasi Malaysia Madani.

"Sehingga kini, SWCorp telah mengeluarkan sebanyak 1,342 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh buah negeri di bawah Akta 672, melibatkan 1,058 warganegara tempatan dan 284 warganegara asing," katanya.