Perak muktamadkan Perintah Khidmat Masyarakat Jun ini

LocalPolitics
29 Mar 2026 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sandrea ketika ditemui pemberita pada Ahad.

IPOH - Penggunaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di Perak dimuktamadkan selewat-lewatnya Jun ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng berkata, perkara itu selepas kerajaan negeri selesai memperhalusi kaedah pelaksanaan serta penguatkuasaan akta berkenaan.

"Kalau ikut di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kita ada enam bulan untuk selaraskan pelaksanaan.

"Jadi kita masih dalam proses libat urus dan memperhalusi kaedah sebelum ambil tindakan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Kesedaran Keselamatan Awam sempena Program Satelit Program Madani Rakyat anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di AEON Mall Kinta City di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon.

Sandrea menjelaskan bahawa kerajaan negeri secara prinsipnya bersetuju dengan pelaksanaan akta tersebut seperti yang digariskan oleh KPKT.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa aspek perlu diperincikan termasuk aspek penguatkuasaan, agensi yang akan dipertanggungjawabkan serta kaedah pelaksanaan yang sesuai di peringkat negeri.

"Di negeri yang telah guna pakai Akta 672, mereka mempunyai jabatan khusus untuk penguatkuasaan dan mengambil tindakan.

"Bagi Perak dan negeri lain yang belum guna pakai, pelaksanaannya perlu diteliti terlebih dahulu," katanya.

Pada Sabtu, seramai 78 pesalah menjalani PKM atas kesalahan pembuangan sampah kecil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

PKM berkenaan dilaksanakan secara serentak di enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

Bermula 1 Januari, kerajaan melalui KPKT menguatkuasakan hukuman pesalah yang membuang sampah merata-rata di tempat awam di Malaysia untuk menjalani perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam, selain denda sehingga RM2,000.