Jangan Tafsir Perpaduan Orang Melayu Sebagai Permusuhan - Sultan Sharafuddin

LocalPolitics
21 May 2026 • 2:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Jangan Tafsir Perpaduan Orang Melayu Sebagai Permusuhan - Sultan Sharafuddin

KUALA LUMPUR - Perpaduan orang Melayu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai satu permusuhan dengan semua kaum lain di negara ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling menghormati.

Titah baginda, terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan berlaku dalam kalangan ahli politik mutakhir ini, sehingga menimbulkan keresahan rakyat. 

“Semua pihak seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu Islam telah membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin menitahkan demikian menerusi Perutusan Hari Raya Aidiladha hari ini.

Aidiladha titah baginda  mengajar kita erti pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah. 

“Ketika jutaan umat Islam berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan, mereka menunjukkan satu contoh perpaduan yang amat besar nilainya kepada seluruh dunia Islam.

“Mengambil teladan dari itu, Beta berharap orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hinggalah kepada rakyat jelata,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, negara rugi dan akan lemah jika rakyatnya terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri. 

“Di kesempatan sambutan Aidiladha ini juga, beta mahu agar semua kaum, bangsa dan semua agama di negara ini saling hormat menghormati sensitiviti antara satu sama lain dan hidup aman damai. 

“Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ketika era Kerajaan Uthmaniyyah apabila masyarakat berbilang bangsa hidup harmoni di bawah pemerintahan Islam,” titah baginda.

Menerusi perutusan sama, Sultan Sharafuddin dan Permaisuri, Tengku Permaisuri Norashikin turut mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah, dikurniakan kesihatan yang baik dan kembali ke tanah air dengan selamat serta memperoleh haji yang mabrur. - Getaran, 21 Mei 2026