SHAH ALAM – Kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mempersoalkan kedudukan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam sistem Raja Berpelembagaan sebagai biadab dan tidak menghormati institusi diraja.
Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, kenyataan DAP itu yang mempersoalkan kedudukan titah Raja dan Rukun Negara dilihat tidak sensitif selain berpotensi mengelirukan rakyat mengenai peranan institusi diraja di negara ini.
"Walaupun Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, ia tidak bermaksud institusi diraja boleh diperkecil atau dipersoalkan sesuka hati oleh ahli politik.
"Titah Sultan Selangor itu menyentuh soal adab, penghormatan kepada Rukun Negara serta institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi asas kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Tony Pua yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP dilaporkan menegaskan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
ARTIKEL BERKAITAN TONY PUA: Persenda titah sultan: Tony Pua biadab, bagai kaduk naik junjung - Asyraf Wajdi
Tony Pua dakwa kuasa raja terhad pada aspek tertentu
Persenda titah sultan: Tony Pua biadab, bagai kaduk naik junjung - Asyraf Wajdi
'Cukup-cukuplah kerjasama dengan mereka, titah Sultan pun sanggup diperlekeh' - Akmal Saleh
Hormati Institusi Raja, jangan pilih Perlembagaan ikut kepentingan politik - Mohamed Sukri
Menurut beliau, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem pemerintahan mutlak yang membolehkan raja menggubal atau mengikat semua aspek kehidupan rakyat melalui titah semata-mata.
Kenyataan tersebut dibuat susulan titah Sultan Selangor yang menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu supaya hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami serta menghayati makna sebenar Rukun Negara.
Baginda bertitah, langkah itu penting agar mereka menjadi rakyat yang memahami kepentingan menghormati kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu selain menjaga adab, kesopanan dan kesusilaan sebagaimana terkandung dalam prinsip Rukun Negara.
Mengulas lanjut, Daniel berkata, majoriti rakyat Malaysia masih menjunjung tinggi institusi diraja dan menyokong titah Sultan Selangor yang sering menekankan aspek perpaduan serta keharmonian negara.
Beliau berkata, pemimpin politik sewajarnya menunjukkan teladan baik kepada masyarakat dengan menjaga tutur kata apabila menyentuh isu berkaitan institusi Raja-Raja Melayu.
"Jangan kerana mahu mempertahankan kenyataan tertentu, akhirnya adab terhadap institusi diraja diketepikan.
"Rakyat masih tahu membezakan antara kebebasan bersuara dengan kenyataan yang boleh dianggap tidak menghormati Raja-Raja Melayu," katanya.






