
Pernahkah kita berhenti seketika dan bertanya, salahkah seorang ibu atau bapa mengambil cuti tahunan semata-mata untuk menjaga anak yang sedang demam atau tidak sihat? Bagi sesetengah pihak, perkara ini mungkin dianggap mengganggu produktiviti syarikat.
Namun bagi seorang ibu bapa, tiada apa yang lebih penting daripada memastikan anak mendapat perhatian ketika memerlukan.
Sejak kebelakangan ini, media sosial dipenuhi luahan hati pekerja yang mendakwa berdepan tekanan daripada majikan apabila memohon cuti untuk menjaga anak yang sakit.
Ada yang berkongsi pengalaman dipersoalkan berkali-kali, diminta mengemukakan pelbagai bukti, malah ada yang seolah-olah dipersalahkan kerana memilih keluarga berbanding kerja.
Lebih mengecewakan, terdapat pekerja yang sudah diluluskan cuti tetapi masih menerima panggilan telefon, mesej WhatsApp dan emel daripada pejabat.
Ada yang diminta menyertai mesyuarat secara dalam talian, menyiapkan tugasan atau datang ke pejabat atas alasan ‘hanya sekejap’.
Bukankah cuti tahunan adalah hak pekerja yang diperuntukkan bagi membolehkan mereka menguruskan hal peribadi?
Lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak yang sakit dan memerlukan perhatian ibu atau bapa.
Lebih menyedihkan apabila ada pekerja yang akhirnya dilabel tidak komited, bermasalah atau tidak beretika hanya kerana mengambil cuti demi menjaga anak.
Sedangkan mereka tidak bercuti untuk berseronok, sebaliknya memikul tanggungjawab yang tidak boleh dipindahkan kepada orang lain.
Syarikat yang mengamalkan budaya kerja berasaskan empati lazimnya menikmati kadar kesetiaan pekerja yang lebih tinggi kerana kakitangannya berasa dihargai dan difahami.
Tidak hairanlah semakin ramai pekerja hari ini memilih untuk berhenti kerja apabila tekanan di tempat kerja menjadi keterlaluan.
Ada yang sanggup melepaskan jawatan tetap demi mencari majikan yang menghormati keseimbangan antara kerjaya dan keluarga.
Pekerja yang menjaga anak sakit bukanlah pekerja yang bermasalah. Sebaliknya, mereka melaksanakan tanggungjawab yang paling asas sebagai ibu atau bapa.
Jika sebuah organisasi benar-benar mahu melahirkan pekerja yang produktif dan setia, budaya saling memahami perlu dijadikan keutamaan, bukannya terus menghukum.
Kadangkala, apa yang diperlukan bukanlah polisi baharu atau slogan korporat yang indah, tetapi sekadar seorang ketua yang mampu berkata, ‘Pergilah jaga anak anda. Kerja boleh tunggu’.
-Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia
The post Jangan takut ambil cuti jaga anak sakit appeared first on Utusan Malaysia.






