Dua pelajar maut: Ibu dakwa anak tidak pernah tunjuk perubahan sikap

25 Jul 2026 • 10:26 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Dua pelajar maut: Ibu dakwa anak tidak pernah tunjuk perubahan sikap

IPOH, 25 JULAI: Seorang ibu tidak menyangka anak perempuannya yang dihantar ke sekolah seperti biasa semalam ditemukan meninggal dunia bersama rakan baiknya di kawasan Flat Sungai Pari, Buntong.

Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Seela, 36, berkata anaknya yang berusia 14 tahun itu dihantar ke sekolah bersama rakannya dari kediaman mereka di Menglembu kira-kira jam 1 tengah hari.

Menurutnya, sekitar jam 4.50 petang, beliau menerima panggilan memaklumkan anaknya berada di kawasan perumahan kosong berkenaan.

"Saya sempat tengok keadaan dia, masih memakai baju pendidikan jasmani, pakaian sama seperti saya hantar ke sekolah.

"Selama ini saya yang hantar dan jemput dia ke sekolah setiap hari. Saya tidak sangka perkara begini boleh berlaku kepada anak saya," katanya, lapor Sinar Harian.

Seela berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu juga tidak pernah menunjukkan perubahan sikap atau mengadu berdepan masalah di sekolah.

Dalam kejadian petang semalam, dua pelajar perempuan berusia 14 tahun yang merupakan rakan baik ditemukan meninggal dunia di kawasan Flat Sungai Pari.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat selepas siasatan di lokasi selesai dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin memaklumkan siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dipercayai meninggalkan kawasan sekolah secara sukarela sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

Beliau berkata, setakat ini polis tidak menemukan sebarang petunjuk yang menunjukkan penglibatan pihak lain, namun siasatan masih diteruskan dan punca sebenar kematian hanya dapat dipastikan selepas laporan bedah siasat serta analisis forensik diperoleh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 atau tampil ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved