'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'

LocalPolitics
2 Jul 2026 • 12:01 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'
Dr Zaliha ketika wawancara Secawan Teh Tarik sempena PRN Johor yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) Johor bakal melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Jumaat ini, kata Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu berkata, manifesto tersebut dimuktamadkan berdasarkan keperluan rakyat di negeri tersebut.

Menurutnya, tawaran kepada rakyat Johor bukan hanya menitikberatkan soal ketelitian, tetapi juga kebolehcapaian manifesto itu sendiri.

"Perkara ini kena diteliti baik-baik, sebab itulah insya-ALLAH PH Johor dah bersedia dan 3 Julai ini (Jumaat) kita akan lancarkan manifesto.

"Kepada Datuk Zahari Sarip (calon BN Buloh Kasap), tengok nanti 3 Julai apa yang PH nak tawarkan kepada rakyat Johor, jangan terkejut!

"Tawarannya insya-ALLAH kita sudah teliti dan ada asas, ini adalah keperluan rakyat. Selain itu, matlamat kita dalam meningkatkan kehidupan rakyat Johor," katanya 

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan Zahari yang sebelum ini bertanyakan tentang manifesto dan hala tuju PH Johor dalam mendepani PRN di negeri itu.

Perkara tersebut disampaikan menerusi satu wawancara sempena PRN Johor yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sekijang itu turut membidas tindakan Zahari sambil mendakwa banyak manifesto Barisan Nasional (BN) yang belum tercapai hingga sekarang.

Sementara itu, Dr Zaliha memaklumkan, hampir kesemua janji PH tertunai jika diteliti dapatan daripada jawatankuasa khas bagi memantau manifesto.

"Saya pernah menjadi anggota Kabinet, di saat kita memerintah selama dua tahun pertama hingga tahun ketiga (sekarang memasuki tahun keempat), memang manifesto yang dijanjikan oleh parti-parti komponen kita pantau satu-persatu.

"Alhamdulillah, ketika kita memantau semua janji tersebut oleh parti-parti yang berkenaan, sebenarnya apa yang dijanjikan dalam manifesto PH hampir semuanya tertunai.

"Ini bermakna dalam masa tiga tahun setengah, kita dah boleh laksanakan. Jadi, tidak mustahil apa yang digariskan dalam PRN Johor ini adalah perkara yang boleh direalisasikan sepanjang tempoh pentadbiran," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved