'Jangan tuduh Pas toksik, ingat siapa bantu jadi Perdana Menteri' - Hamzah

LocalPolitics
19 Jul 2026 • 6:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Jangan tuduh Pas toksik, ingat siapa bantu jadi Perdana Menteri' - Hamzah
Hamzah (berdiri) ketika berucap pada majlis pertemuan bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dan Ampangan serta kepimpinan PN dan BN

SEREMBAN – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sepatutnya menuduh Pas sebagai 'toksik' dalam Perikatan Nasional (PN) sedangkan parti itu antara yang menyokong pelantikannya sebagai Perdana Menteri suatu ketika dahulu.

Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu sepatutnya mengingati jasa baik Pas sehingga membolehkannya memegang jawatan berkenaan.

"Macam mana dia boleh kata toksik? Tan Sri Muhyiddin tidak boleh menjadi Perdana Menteri tanpa UMNO dan beliau juga tidak boleh menjadi Perdana Menteri tanpa Pas.

"Maka janganlah menuduh orang toksik dan sebagainya. Kita kena ingat sejarah bagaimana orang luar atau parti lain membantu kita sehingga kita boleh menjadi Perdana Menteri. Sebab itu saya tidak mahu menuduh sesiapa," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas menghadiri pertemuan bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dan Ampangan serta kepimpinan PN dan BN di sini pada Ahad.

Sebelum ini Muhyiddin dilaporkan mendakwa PN kini sudah menjadi toksik dan terpesong daripada perjuangan bawah pimpinan Pas.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa Pas membuat tuduhan tidak benar bersertakan fitnah terhadap kepimpinan Bersatu sebagai usaha untuk meminggirkan parti berkenaan.

Selain itu, Hamzah turut memaklumkan bahawa PN bukanlah hak mutlak Bersatu sebaliknya sejarah penubuhannya didokong oleh pelbagai pihak.

"Bermulanya PN ini, hari ini saya nak maklumkan nama PN itu sebenarnya datangnya daripada saya dan dua orang lagi sahabat saya ketika itu Perdana Menterinya adalah Tun Dr Mahathir Mohamad,"katanya.

Selain itu ujarnya, kerjasama antara parti dalam PN perlu dilihat dari sudut usaha membina kekuatan politik, termasuk di peringkat negeri, bukannya melalui pertelingkahan atau tuduhan.

"Sebab itu saya tidak mahu menuduh sesiapa. Saya tidak mahu mengata sesiapa. Yang pastinya, kepentingan kita adalah untuk mengembalikan kerajaan ini di bawah satu kumpulan yang lebih kuat.

"Cuba kita lihat, hari ini kumpulan itu dapat bergabung bukan hanya di Johor, tetapi juga di negeri-negeri lain,"katanya.

Hamzah berkata, mana-mana pihak boleh mengambil alih kerajaan tanpa mempunyai sifat tuduh-menuduh antara satu sama lain.

"Walaupun dia cakap toksik, bagi saya itu adalah satu kenyataan yang tidak benar," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved