Jangan tunggu ada anggota lagi terkorban

LocalPolitics
18 Nov 2026 • 11:38 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jangan tunggu ada anggota lagi terkorban

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain digesa untuk menjalankan audit keselamatan menyeluruh terhadap kenderaan mereka serta memperkukuh prosedur penyelenggaraan pencegahan berikutan kemalangan maut melibatkan van polis berhampiran Tapah, semalam.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, insiden itu menjadi peringatan bahawa aspek keselamatan jalan raya perlu melibatkan mereka yang berkhidmat dan melindungi orang ramai.

Beliau menambah anggota yang menjalankan tugas rasmi perlu diyakinkan bahawa kenderaan yang digunakan adalah selamat, sesuai berada di jalan raya dan diselenggara sebaiknya.

“Tragedi ini seharusnya mendorong PDRM dan agensi penguatkuasaan lain untuk melaksanakan audit keselamatan menyeluruh terhadap kenderaan mereka serta memperkukuh prosedur penyelenggaraan pencegahan dan keselamatan operasi.

“Kita tidak seharusnya menunggu sehingga ada lagi nyawa yang terkorban sebelum mengambil tindakan pembaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee menekankan keperluan melakukan semakan menyeluruh terhadap prosedur penyelenggaraan dan pemeriksaan kenderaan polis khususnya yang digunakan untuk perjalanan jarak jauh bagi memastikan tayar, sistem brek, mekanisme stereng dan komponen penting lain diperiksa secara berkala dan sistematik.

Beliau berkata PDRM perlu mengkaji semula sistem pengurusan penyelenggaraan kenderaan agensi itu bagi memastikan servis berjadual dan pemeriksaan keselamatan yang sewajarnya dijalankan sambil menekankan bahawa usia tayar, keadaan tayar, tekanan angin serta jadual penggantian tayar tidak boleh diabaikan.

Selain penyelenggaraan kenderaan, Lam Thye menegaskan keselamatan penumpang mesti diutamakan menerusi aturan tempat duduk yang betul, penggunaan tali pinggang keledar yang berfungsi dan pematuhan ketat terhadap had kapasiti kenderaan.

Beliau menggesa agar satu siasatan menyeluruh dijalankan terhadap kemalangan tersebut bagi mengenal pasti semua faktor penyumbang iaitu melangkaui penemuan awal mengenai tayar pecah, supaya kelemahan dapat dikenal pasti dan tragedi serupa dapat dicegah.

Menurut Lam Thye, prinsip keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu diberikan penekanan yang lebih besar dalam agensi penguatkuasaan, memandangkan anggota bukan sahaja berdepan risiko semasa menangani penjenayah malah turut terdedah kepada bahaya ketika menaiki kenderaan dalam melaksanakan tugas mereka.

“Setiap nyawa itu berharga termasuk nyawa mereka yang berkhidmat untuk melindungi masyarakat kita. Keselamatan mereka tidak boleh dipandang ringan,” katanya sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mendoakan agar anggota yang cedera segera sembuh.

Dalam kejadian kira-kira 11.35 pagi semalam, sebuah van jenis Maxus yang dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak menuju ke Melaka terbabas sebelum merempuh penghadang besi di KM352 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dipercayai akibat tayar belakang sebelah kiri van itu pecah.

Beberapa penumpang tercampak keluar dari kenderaan dalam nahas itu yang menyebabkan Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, 26, maut di tempat kejadian manakala 10 anggota lain mengalami kecederaan termasuk empat parah. – BERNAMA

The post Jangan tunggu ada anggota lagi terkorban appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved