Jangan Tunggu Krisis Melanda! Khaled Mahu Tentera ASEAN Bersedia Hadapi Ancaman

17 Nov 2026 • 11:28 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Dunia hari ini bukan lagi berdepan ancaman peperangan semata-mata. Serangan siber, perkembangan teknologi dan bencana alam juga boleh menggugat keselamatan sesebuah negara tanpa mengira sempadan.

Dalam keadaan ancaman semakin sukar dijangka, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan bahawa tiada negara boleh menganggap dirinya akan sentiasa terselamat daripada perkembangan yang berlaku di luar wilayah masing-masing.

Image from: Jangan Tunggu Krisis Melanda! Khaled Mahu Tentera ASEAN Bersedia Hadapi Ancaman

Malah, beliau berpandangan angkatan tentera juga tidak boleh sekadar mempersiapkan diri untuk menghadapi ancaman yang sudah diketahui, sebaliknya perlu sentiasa bersedia dengan cabaran baharu.

Perkara itu menjadi antara mesej utama beliau ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Makan Malam Sambutan Mesyuarat Multilateral Panglima Tentera Darat ASEAN Ke-27 (ACAMM) dan Mesyuarat Tahunan Sarjan Mejar ASEAN Ke-14 (ASMAM) di Hotel DoubleTree by Hilton, Melaka, pada Isnin.

Menurut Mohamed Khaled, setiap negara sememangnya mempunyai tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kepentingan masing-masing, namun terdapat cabaran keselamatan yang memerlukan persefahaman serta kerjasama erat antara negara jiran.

“Tiada negara boleh menganggap dirinya tidak akan terjejas oleh perkembangan di luar sempadannya. Tiada angkatan tentera juga boleh hanya bersiap sedia menghadapi cabaran yang sudah difahami.
“Kesiapsiagaan bersama tidak boleh dibina ketika krisis berlaku. Ia mesti dibangunkan jauh lebih awal sebelum krisis datang,” katanya.

Image from: Jangan Tunggu Krisis Melanda! Khaled Mahu Tentera ASEAN Bersedia Hadapi Ancaman

Kekuatan tentera bukan untuk mencetuskan peperangan

Di sebalik usaha memperkukuh kemampuan pertahanan, Mohamed Khaled turut membawa mesej bahawa kekuatan sesebuah angkatan tentera tidak sepatutnya dilihat sebagai lambang kuasa untuk mencetuskan peperangan.

Sebaliknya keupayaan ketenteraan, tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan anggota perlu menjadi asas untuk memastikan keamanan terus terpelihara.

Beliau menjelaskan, kestabilan serantau tidak mungkin dapat dipertahankan oleh sesebuah negara secara bersendirian tanpa kepercayaan, dialog dan sikap saling menghormati.

“Angkatan tentera diwujudkan bukan untuk melancarkan peperangan atau mencetuskan konflik, tetapi untuk memastikan konflik tidak perlu berlaku dan sentiasa dapat dicegah.
“Keupayaan ketenteraan, profesionalisme dan kesiapsiagaan seharusnya dilihat bukan sebagai pertunjukan kekuatan, sebaliknya manifestasi komitmen bersama terhadap keamanan dan kestabilan,” ujarnya.

Image from: Jangan Tunggu Krisis Melanda! Khaled Mahu Tentera ASEAN Bersedia Hadapi Ancaman

Kerjasama ASEAN perlu lebih daripada sekadar pertemuan rasmi

Dalam pada itu, Khaled mahu hubungan antara angkatan darat ASEAN terus diperkukuh melalui latihan, pertukaran pengalaman dan kerjasama ketenteraan yang praktikal.

Menurut beliau, hubungan yang terjalin selama ini bukan sahaja membantu membina kepercayaan antara anggota tentera, malah membolehkan setiap negara memahami cara operasi dan keupayaan pasukan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kesiapsiagaan bersama tidak bermaksud semua negara ASEAN perlu mengamalkan pendekatan pertahanan yang sama atau mengetepikan kedaulatan masing-masing.

Sebaliknya, kerjasama itu perlu memastikan setiap angkatan tentera mempunyai hubungan dan mekanisme yang bersesuaian untuk bertindak apabila keadaan memerlukan.

Image from: Jangan Tunggu Krisis Melanda! Khaled Mahu Tentera ASEAN Bersedia Hadapi Ancaman

Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan peranan Sarjan Mejar dan pemimpin anggota kanan dalam memastikan segala perancangan di peringkat tertinggi dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Jelasnya, disiplin, latihan dan profesionalisme anggota merupakan antara elemen penting dalam menentukan tahap kesiapsiagaan sesebuah pasukan tentera.

Malaysia sambut delegasi tentera ASEAN di Melaka

Kedua-dua persidangan anjuran Tentera Darat Malaysia (TDM) itu berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 November 2026 dengan penglibatan 10 negara serantau.

ACAMM ke-27 bertemakan Fostering Collective Preparedness Among ASEAN Land Forces for a Stable and Secure Region, manakala ASMAM ke-14 memberi tumpuan kepada kepimpinan, disiplin, daya tahan dan profesionalisme anggota dalam persekitaran keselamatan yang kompleks.

Image from: Jangan Tunggu Krisis Melanda! Khaled Mahu Tentera ASEAN Bersedia Hadapi Ancaman

Majlis makan malam berkenaan turut diserikan dengan ucapan aluan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman serta persembahan kebudayaan oleh Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD).

Bagi Mohamed Khaled, meskipun cabaran keselamatan masa depan tidak dapat diramal sepenuhnya, negara anggota ASEAN masih mempunyai peluang untuk menentukan sejauh mana mereka bersedia menghadapinya.

Justeru, usaha memperkukuh kepercayaan dan kerjasama pertahanan perlu diteruskan supaya angkatan tentera serantau bukan sahaja bersedia menghadapi ancaman, tetapi turut memainkan peranan penting dalam mencegah konflik dan mengekalkan keamanan Asia Tenggara.

The post Jangan Tunggu Krisis Melanda! Khaled Mahu Tentera ASEAN Bersedia Hadapi Ancaman appeared first on Borak Daily.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved