
Kota Kinabalu: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Ir Ts Mustapha Sakmud mengecam kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa “sejahat-jahat orang Islam memerintah negara, tidak sezalim orang bukan Islam” yang disifatkan melampau serta boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk.
Beliau berkata kenyataan sedemikian bukan sahaja menyinggung perasaan penganut agama lain malah berpotensi mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat yang sekian lama hidup dalam suasana saling menghormati tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.
“Kenyataan itu juga amat tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama yang perlu terus dipelihara keharmoniannya.
“Sabah dan Sarawak khususnya mempunyai keunikan tersendiri apabila masyarakat pelbagai agama hidup bersama malah perbezaan kepercayaan tidak pernah menjadi penghalang kepada hubungan kekeluargaan, persahabatan dan kehidupan bermasyarakat.
“Di Sabah, tidak ada tempat untuk politik yang mendiskriminasi penganut agama lain. Perbezaan agama bukan penghalang kepada hubungan kekeluargaan, persahabatan dan kehidupan bermasyarakat.
“Dalam satu keluarga sendiri ada ahli yang menganut agama berbeza namun tetap hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Abdul Hadi ketika berucap di Pentas Grand Finale Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Khamis lalu mengingatkan umat Islam supaya menunaikan tanggungjawab keluar mengundi bagi memastikan kepimpinan negara dipandu pertimbangan dosa dan pahala serta amanah agama.
Beliau turut mendakwa kegagalan umat Islam keluar mengundi boleh membuka ruang kepada pihak lain untuk mengambil alih pemerintahan sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa “sejahat-jahat orang Islam yang memerintah negara, tidak sezalim orang bukan Islam”.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata Islam sendiri mengajar umatnya supaya berlaku adil kepada semua manusia tanpa mengira agama, justeru keadilan atau kezaliman seseorang pemimpin tidak sepatutnya dinilai berdasarkan kepercayaan yang dianuti.
Sebaliknya katanya seseorang pemimpin perlu dinilai berdasarkan perbuatan, integriti dan keupayaannya melaksanakan tanggungjawab dengan adil kepada seluruh rakyat.
“Sebagai pemimpin politik dan tokoh agama, Abdul Hadi seharusnya bertanggungjawab dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan prasangka serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Keharmonian masyarakat berbilang agama perlu dipertahankan dan tidak wajar dijadikan taruhan dalam persaingan mendapatkan sokongan politik,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat di seluruh Malaysia, khususnya pengundi di Melaka, supaya berwaspada serta menolak mana-mana parti politik yang menggunakan sentimen kebencian terhadap penganut agama lain demi kepentingan politik.






