Jangkitan COVID-19 Meningkat Sedikit, 12 Kematian

23 Sep 2022 • 11:09 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sebanyak 12 lagi korban COVID-19 direkodkan semalam dengan tujuh kes berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID). - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Angka jangkitan baharu COVID-19 di negara ini meningkat sedikit dengan 2,245 kes direkodkan semalam berbanding 2,111 kes kelmarin.

Berdasarkan data laman sesawang COVIDNOW, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan meningkat kepada 4,826,220 kes setakat ini.

Jumlah direkodkan itu membabitkan 2,239 kes tempatan dan enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Sebanyak 12 lagi korban COVID-19 direkodkan semalam dengan tujuh kes berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kematian tertinggi dilaporkan di Kedah dan Selangor dengan masing-masing empat kes manakala setiap satu kes di Kuala Lumpur, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian mencecah 36,342 kes setakat ini dengan 7,729 daripadanya adalah kes BID.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 25,659 kes aktif COVID-19 dilaporkan di seluruh negara.

Daripada jumlah kes aktif itu, 95.2 peratus atau 24,440 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah, satu kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), sementara 1,163 orang atau 4.5 peratus menerima rawatan di hospital.

Sebanyak 55 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 35 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdapat 1,901 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada virus tersebut adalah sebanyak 4,764,219 kes. – Getaran, 23 September 2022