Jangkitan Harian COVID-19 Kekal Lepasi 5,000 Kes, 4 Kematian

17 Jul 2022 • 11:43 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Angka jangkitan COVID-19 dalam negara kekal melepasi paras 5,000 dengan 5,047 kes baharu direkodkan semalam.

Berdasarkan data laman sesawang COVIDNOW, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti virus berkenaan meningkat kepada 4,619,045 kes setakat ini.

Jumlah direkodkan itu membabitkan 5,044 kes tempatan dan tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Sebanyak empat lagi korban COVID-19 direkodkan semalam, dengan satu kes berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kematian tertinggi direkodkan di Selangor dengan tiga kes manakala satu lagi kes berlaku di Negeri Sembilan.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian mencecah 35,848 setakat ini dengan 7,602 daripadanya adalah BID.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 42,481 kes aktif COVID-19 dilaporkan di seluruh negara.

Daripada jumlah kes aktif itu, 96.3 peratus atau 40,923 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah, 39 kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), sementara 1,459 orang atau 3.4 peratus menerima rawatan di hospital.

Sebanyak 60 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 34 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdapat 3,770 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada virus tersebut adalah sebanyak 4,540,716 kes. - Getaran, 17 Julai 2022