
BAGI kebanyakan orang, cap sekadar tanda pada sekeping kertas. Namun bagi Janice Loh, 31, setiap cop membawa sebuah cerita, perjalanan dan kenangan yang tidak mungkin berulang.
Di sebalik dakwat yang melekat pada helaian jurnal, tersimpan ribuan langkah kaki, pelbagai destinasi dan pengalaman yang membentuk perjalanan hidupnya.
Bagi wanita itu, setiap ap bukan sekadar koleksi, sebaliknya menjadi bukti sesuatu tempat pernah diteroka dengan penuh penghayatan.
Minatnya terhadap aktiviti Stamp Rally bermula pada tahun 2017 selepas menyertai bengkel jurnal yang dikendalikan oleh artis tempatan yang dikenali sebagai Elsiewithlove.
Daripada sekadar ingin mempelajari teknik membuat buku jurnal, Janice akhirnya menemui satu hobi yang menjadi terapi dan teman kepada kehidupannya.
“Pada mulanya saya hanya mahu mempelajari teknik menghasilkan jurnal buatan tangan. Namun, tanpa disangka, bengkel ini membuka pintu kepada satu hobi yang akhirnya menjadi sebahagian daripada kehidupan saya.
“Sejak itu, buku jurnal saya mula dipenuhi dengan pelbagai cap daripada muzium, galeri, kafe, acara khas dan lokasi pelancongan,” katanya kepada Seri, baru-baru ini.

Menurut Janice, buku jurnal yang dipenuhi cap bukan sekadar koleksi, sebaliknya, ia juga menjadi satu diari perjalanan yang menyimpan pelbagai memori.
“Setiap buku hanya ada satu di dunia kerana ia dihasilkan mengikut pengalaman sendiri. Saya melukis, menulis dan cap mengikut perjalanan hidup saya sendiri,” katanya.
Janice berkata, minat terhadap cap sebenarnya sudah bermula sejak zaman kanak-kanak lagi di mana dia masih mengingati keterujaan menerima cop bertulis ‘Good’, ‘Well Done’ dan pelbagai rekaan menarik daripada guru pada buku latihan sekolah.
Pengalaman sama turut dirasai ketika mengikuti kelas di sekolah rendah apabila guru memberikan cap sebagai ganjaran kehadiran, malah, perasaan gembira menunggu cap baharu setiap minggu masih kekal sehingga hari ini.
“Apabila saya melihat semula jejak kehidupan saya sejak kecil, rupanya minat terhadap cap sudah ada pada masa itu,” katanya.
Janice berkata, berbeza dengan kebanyakan pelancong yang mencari lokasi bergambar di setiap destinasi yang mereka tuju, dia pula merancang perjalanan berdasarkan lokasi cap yang ingin dikumpulkan.
Katanya, setiap negeri atau negara yang dijelajahi, setiap destinasi yang akan diterokainya akan mengikut laluan Stamp Rally yang disediakan.
Malah, katanya, dia sanggup memasuki lorong-lorong kecil, bangunan warisan, muzium dan premis tempatan hanya untuk mendapatkan cap tertentu yang dikeluarkan mengikut majlis atau acara istimewa yang diadakan.

Menurutnya, laluan Stamp Rally di setiap destinasi yang dilawatinya itu menjadikan ia satu pengalaman sebenar sesuatu perjalanan.
“Bagi orang lain mungkin hanya satu cap. Tetapi, bagi saya, ia mewakili keseluruhan pengalaman sepanjang mencari cap tersebut,” katanya.
Selain menyertai Stamp Rally di Malaysia, Janice berkata, dia turut mengembara ke beberapa negara lain termasuk Taiwan, Singapura, China dan Thailand.
Malah, wanita itu berkata, dia pernah melakukan perjalanan solo ke Taiwan semata-mata bagi menyertai aktiviti Stamp Rally.
Janice yang dilahirkan di Ipoh, Perak berkata, Taiwan merupakan antara destinasi yang mempunyai budaya mengumpul cap paling aktif.
“Ketika saya berada di sebuah muzium pos di Taiwan, saya berjaya mengumpul hampir 200 cap dalam tempoh kira-kira satu setengah jam.
“Apabila melancong seorang diri, saya bebas bergerak mengikut rentak sendiri. Proses mencari cap itu sendiri menjadi terapi kepada saya,” katanya.
Jelas Janice, dia tidak mengira jumlah sebenar cap yang dimiliki, namun, menganggarkan jumlah tersebut mungkin telah mencecah lebih 10,000 sepanjang hampir sedekad mengumpulnya.

“Selain cap rasmi di muzium atau pejabat pos, saya turut memburu cap khas yang dihasilkan oleh kafe, artis tempatan dan perniagaan kecil.
“Banyak premis di Pulau Pinang kini menghasilkan cap edisi terhad yang hanya boleh diperoleh dalam tempoh tertentu.
“Ada juga yang memperkenalkan konsep ‘layering stamp’ di mana peserta perlu mengumpul beberapa cap di lokasi berbeza bagi melengkapkan satu ilustrasi,” katanya.
Menurut Janice, konsep sedemikian menjadikan pengalaman mengumpul cop itu menjadi lebih interaktif dan menyeronokkan bagi peminat koleksi cap.
“Kadang-kadang saya sanggup mengambil cuti semata-mata untuk mendapatkan cop edisi terhad kerana peluang itu hanya datang sekali sahaja.
“Selain itu, saya juga aktif menyokong artis tempatan dengan membeli produk yang disertakan bersama cap eksklusif.
“Bagi saya pembelian itu bukan sekadar untuk mendapatkan cap, malah sebagai tanda penghargaan terhadap hasil seni tempatan,” katanya.
Janice yang bertugas sebagai Pegawai Khas kepada Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai turut melihat perkembangan budaya Stamp Rally di negeri itu dari dekat.
Menurutnya, elemen tersebut kini semakin banyak diterapkan dalam setiap acara berkaitan pelancongan.
“Antara program yang menggunakan konsep berkenaan ialah George Town Festival 2025, Penang International Dragon Boat Regatta 2025 dan Yosakoi Parade 2026.
“Pendekatan itu berjaya menggalakkan pengunjung meneroka lebih banyak lokasi serta mengenali warisan dan budaya Pulau Pinang,” ujar wanita tersebut.
Janice berkata, semakin ramai pemburu cap dari seluruh negara juga sanggup datang ke Pulau Pinang semata-mata untuk menyertai acara Stamp Rally.
“Ada pemburu cap yang sanggup memandu dari Johor dan Melaka, malah, ada juga yang ‘terbang’ sejauh dari Sabah serta Sarawak ke Pulau Pinang semata-mata untuk memburu cap.

“Pemburu cap bukan sahaja mengumpul cap, tetapi, turut menikmati makanan tempatan, mengunjungi bangunan warisan dan mengenali komuniti setempat,” jelasnya.
Kata wanita itu, budaya berkenaan turut melahirkan komuniti pengumpul cap yang sangat akrab, malah, mereka turut mempunyai komuniti pemburu cap yang saling menyokong antara satu sama lain demi hobi unik ini.
“Kami berkongsi maklumat mengenai lokasi cap baharu melalui laman Facebook dan aplikasi WhatsApp selain saling membantu mendapatkan cap yang sukar diperoleh.
“Ada juga yang bertukar-tukar cap tambahan sesama ahli komuniti. Yang paling bernilai bukan cap itu sendiri, tetapi, persahabatan yang terjalin kerana minat yang sama,” katanya.
Janice berkata, dia turut menyimpan hasrat untuk mengunjungi Jepun yang dianggap antara negara perintis budaya Stamp Rally.
“Saya berharap satu hari nanti saya dapat mengumpul cap di Studio Ghibli di Jepun yang menjadi antara impian saya.
“Dalam masa yang sama, saya percaya Pulau Pinang mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai destinasi Stamp Tourism di rantau Asia,” katanya.
Ujar Janice, warisan budaya, seni, makanan, muzium dan komuniti tempatan merupakan aset terbaik untuk membangunkan produk pelancongan tersebut.
“Setiap cap bukan sekadar tanda kita pernah berada di sesuatu tempat. Ia adalah bukti bahawa kita telah meluangkan masa untuk meneroka, memahami dan menghargai perjalanan itu sendiri,” katanya.
The post Janice sanggup ke luar negara berseorangan demi memburu cap appeared first on Utusan Malaysia.

