Jaringan Safawi terus 'mendonia'

Football
1 Jul 2023 • 1:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Safawi meraikan jaringannya ketika Malaysia menentang Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 14 Jun lalu.

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jelas 'terpukau' dengan jaringan menarik Safawi Rasid ketika Malaysia berdepan Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan baru-baru ini.

Menerusi satu ciapan di laman sosial Twitter, FIFA memuat naik gol menarik yang dihasilkan Safawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 14 Jun lalu.

"Kemahiran yang mengagumkan daripada pemain Malaysia, Safawi Rasid," kata badan induk bola sepak dunia itu.

Jaringan memukau itu terhasil pada minit ke-77 apabila Safawi yang menerima hantaran Lee Tuck berjaya menggunakan kemahiran dimilikinya bagi merobek gawang Kepulauan Solomon.

Safawi yang dimasukkan sebagai pemain gantian, terlebih dahulu menampan bola menggunakan kaki kanannya sebelum melambung bola tersebut menggunakan kaki kiri untuk mengatasi pertahanan lawan.

Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu kemudiannya melepaskan rembatan padu dengan menggunakan kaki kirinya ketika bola masih belum 'jejak' ke tanah.

Sebelum ini, laman sesawang terkenal bola sepak antarabangsa, B/R Football turut 'terpesona' dengan jaringan Safawi itu dan menciap mengenai gol tersebut.

Menerusi akaun Twitternya, B/R Football memamparkan klip video terbabit dengan menciap 'menambah pemain Malaysia, Safawi Rasid dalam senarai Puskas.'

Arena bola sepak Malaysia pernah 'mendonia' apabila Faiz Subri memenangi anugerah Puskas - jaringan tercantik pada Malam Anugerah FIFA 2016 di Zurich, Switzerland.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved