JAS keluarkan 103 notis hantar pulang kontena e-waste ke negara asal

LocalEnvironment
13 Mar 2026 • 1:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anis Rizana (kanan) menunjukkan sisa elektronik yang ditemui dalam kontena yang ditahan di Pelabuhan Klang.

PELABUHAN KLANG – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 103 notis arahan pemulangan semula ke negara asal terhadap kontena yang mengandungi sisa elektronik (e-waste) di sini.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, Op Bongkar telah dilaksanakan JAS bersama pelbagai agensi penguat kuasa pada 3 hingga 9 Mac lalu.

“Berdasarkan hasil operasi itu, JAS telah mengeluarkan 103 notis arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 kepada konsaini bagi mengarahkan pemulangan semula ke negara asal berdasarkan pemeriksaan tersebut.

“Kini, kita sedang menunggu maklum balas daripada konsaini terlibat sebelum penghantaran pulang dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas melaksanakan lawatan kerja di sini pada Jumaat.

Turut hadir Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal serta Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi.

Mengulas lanjut, Anis Rizana berkata, kemasukan e-waste haram turut dikesan di pelabuhan lain di seluruh negara. Bagaimanapun, jelasnya, tumpuan kemasukan barangan itu ialah di Pelabuhan Klang.

Terdahulu, lawatan kerja Menteri NRES, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ke Pelabuhan Klang telah dilaksanakan pada 28 Februari lalu sebelum disusuli Anis Rizana bersama pengurusan tertinggi kementerian serta JAS.

Tambah beliau, lawatan itu bertujuan meninjau perkembangan semasa serta menilai tahap pengoperasian penguatkuasaan di lapangan.

Dalam lawatan tersebut, Anis Rizana turut mengadakan mesyuarat koordinasi bersama AKPS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) bagi memperkukuh kerjasama antara agensi serta mempercepat penyelesaian isu lambakan kontena berkenaan.

“Hala tuju kita adalah untuk menyelaraskan data supaya lebih tepat serta mengenal pasti jumlah sebenar kontena yang disahkan dihantar pulang,” ujarnya.