Jasmine Food Corp dan Sudee Holdings jalin kerjasama strategik dalam pengedaran makanan di seluruh Malaysia

12/09/2025 - 15:42
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 12 Sept – Jasmine Food Corp Sdn Bhd memperluaskan operasinya ke sektor pengedaran makanan melalui kerjasama dengan Sudee Holdings Bhd, jenama tempatan di bawah World Prominence Sdn Bhd yang terkenal dengan produk memasak inovatif seperti kiub rempah tunggal dan pes kering.
Ketua Pegawai Operasi Jasmine, Alan Kwong berkata, kerjasama itu membolehkan Jasmine menyumbang pengalaman bertahun-tahun, kepercayaan pengguna dan rangkaian pengedaran yang luas di seluruh negara, sementara Sudee membawa cita rasa Malaysia asli yang sudah dikenali ramai.
“Jasmine dan Sudee memudahkan, menambahkan keenakan dan menjadikan pengalaman memasak lebih menyeronokkan untuk setiap rumah di Malaysia.
“Jasmine dan Sudee akan memperkenalkan lebih banyak produk untuk dimanfaatkan rakyat Malaysia pada masa depan,” katanya semasa pelancaran program “Mudahnya Memasak dengan Sudee & Jasmine” pada Khamis.
Kerjasama itu dianggap sebagai satu pencapaian penting bagi Jasmine, jenama beras tempatan yang telah wujud lebih 60 tahun.
Ia juga adalah komitmen kedua-dua syarikat untuk menyokong jenama Malaysia dan mengukuhkan ekosistem makanan tempatan.
Dengan menggabungkan rangkaian pengedaran Jasmine yang kukuh dan reputasi dipercayai dengan produk inovatif Sudee, kolaborasi ini dijangka membuka peluang baharu untuk kedua-dua syarikat sambil menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna di pasaran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sudee Holdings, Khairie Kemat pula berkata, kerjasama itu sudah bermula pada April dan kedua-dua pasukan telah bekerja keras untuk merealisasikan kolaborasi tersebut.
“Kerjasama ini tepat pada masanya dan selaras secara strategik dengan produk teras Jasmine kerana tawaran pelengkap ini bersesuaian dengan sempurna.
“Ia menandakan permulaan kerjasama jangka panjang yang memberi impak, bukan sahaja dalam pengedaran produk, tetapi juga pembangunan bersama inovasi produk FMCG,” katanya. - DagangNews.com
standard


