CTOS jalin kerjasama dengan MyDigital ID kurangkan risiko penipuan

12/09/2025 - 14:10
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 12 Sept – CTOS Digital Berhad muncul sebagai agensi pelaporan kredit (CRA) pertama di Malaysia yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MyDigital ID, platform identiti digital nasional yang disokong kerajaan.
Kerjasama itu bertujuan meneroka penggunaan identiti digital kebangsaan dalam memperkukuh proses electronic Know Your Customer (eKYC), sekali gus menjadi asas kepada pengesahan identiti yang lebih selamat, lancar dan cekap.
Menerusi MoU itu, CTOS Digital bersama anak syarikatnya termasuk CTOS Data Systems (CDS) akan menilai bagaimana MyDigital ID boleh digabungkan dengan sistem pengesahan sedia ada bagi mengurangkan risiko penipuan, meningkatkan pematuhan serta menggalakkan penggunaan digital secara lebih meluas.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital, Kevin Loh berkata, langkah itu merupakan tonggak penting bagi syarikat berkenaan dalam memperkukuh penawaran eKYC.
“Sebagai CRA pertama yang bekerjasama dengan MyDigital ID, kami mewujudkan asas untuk penyelesaian masa depan yang dapat meningkatkan keselamatan dan kecekapan, di samping menyokong usaha Malaysia ke arah ekonomi digital yang lebih dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn Bhd, Nik Hisham Nik Ibrahim pula berkata, inisiatif itu menunjukkan bagaimana kerajaan dan industri boleh berganding bahu memperkukuh kepercayaan digital negara.
“MyDigital ID diwujudkan sebagai asas kepada interaksi digital yang selamat.
“Dengan kerjasama ini, kita dapat memastikan transaksi yang lebih selamat, perlindungan lebih baik untuk pengguna, serta kemajuan ke arah ekonomi digital yang inklusif,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin menegaskan tiada satu agensi atau organisasi mampu menangani ancaman siber secara bersendirian.
“Kerjasama ini amat penting kerana ketika kita bergerak ke arah negara digital, inklusiviti dan keselamatan mesti kekal sebagai teras utama.
“Dengan identiti dipercayai, pertahanan siber kukuh serta kerjasama industri, Malaysia boleh membangunkan ekonomi digital dengan penuh keyakinan,” katanya.
Menurutnya, usaha bersepadu antara kerajaan, industri dan pengawal selia akan memperkukuh daya tahan siber negara serta memastikan ekonomi digital terus berkembang atas asas kepercayaan dan keselamatan.
Kerjasama CTOS Digital dan MyDigital ID itu turut sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang menekankan kepentingan identiti digital dalam menggalakkan perkhidmatan kewangan digital yang selamat dan inklusif.
CTOS Digital yang ditubuhkan pada 1990 kini menawarkan pelbagai produk dan penyelesaian digital, bukan sahaja dalam pelaporan kredit tetapi juga dalam pemarkahan kredit digital di seluruh Asia Tenggara.
Syarikat itu turut memiliki pegangan dalam Business Online Public Company Limited (BOL) di Thailand serta beroperasi di Filipina dan Indonesia melalui jenama FinScore.
Produk dan perkhidmatan CTOS digunakan secara meluas oleh institusi kewangan, syarikat insurans, telekomunikasi, syarikat besar, PKS, firma guaman, badan berkanun dan lebih 4 juta pengguna individu berdaftar dengan CTOS ID. - DagangNews.com
standard
