
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Selepas 7 tahun, penyanyi terkenal, Jason Mraz yang pernah mencetuskan fenomena dengan lagu “Im Yours” bakal kembali dan menghiburkan peminatnya di Malaysia menerusi Konsert Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2026.
Konsert Jelajah Asia Kuala Lumpur anjuran Zues Event yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu pastinya mengubat rindu peminat tempatan yang sudah lama menantikan Jason Mraz untuk kembali beraksi secara langsung.
Menurut Pengarah Zues Event Jeffery Chin, pihaknya meneruskan momentum daripada kejayaan konsert K-pop mereka baru-baru ini dengan membawa pengalaman berbeza yang penuh hubungan emosi dan tenaga positif.
Malah mereka percaya konsert penyanyi yang terkenal dengan lagu I’m Yours, I Wont’ Give Up, Lucky (bersama Colbie Caillat) itu bakal membawa aura positif dan santai buat para peminat.
“Ramai rakyat Malaysia membesar dengan lagu-lagu Jason Mraz, dan muziknya masih relevan hingga hari ini kerana membawa mesej positif, emosi dan keaslian.
“Kami percaya kepulangan Jason Mraz ke Kuala Lumpur bukan sahaja akan menarik peminat setianya, malah pencinta muzik yang mahukan pengalaman persembahan langsung bertaraf dunia yang menghiburkan. Malam itu juga dijanjikan dengan pertunjukan percikan api dan langit dihiasi dron.”

Tiket mula dijual pada Khamis, 11 Jun di etix.my
Tiket akan mula dijual menerusi laman etix.my pada Khamis, 11 Jun bermula jam 10.50 pagi. Menurut penganjur semua kategori tiket adalah tempat duduk.
Harganya pula adalah:
- RM688 (Jazzy)
- RM588 (Acoustic)
- RM488 (Soulful)
- RM388 (Originals)
- RM288 (Nostalgic)
- RM158 (Signature – Restricted View)
Namun harga yang disenaraikan tidak termasuk caj dan cukai berkaitan.

Biografi ringkas Jason Mraz
Penyanyi dan penulis lagu yang juga pemenang Grammy Award ini banyak memberi inspirasi kepada masaya generasi menerusi lagu-lagu penuh semangat dan emosi yang melangkaui identiti akustik-pop beliau dengan gabungan elemen folk, reggae, R&B dan disko.
Sebagai salah seorang penerima penghormatan Songwriters Hall of Fame, Jason Mraz banyak menghasilkan lagu yang segar malah banyak lagu popularnya yang terus dimainkan dan dinyanyikan di seluruh dunia.
Jason Mraz memulakan kerjayanya sebagai penghibur jalanan dan penyanyi di kafe sebelum mendapat kontrak rakaman yang membuka laluan kepada kerjaya muziknya. Hasilnya beliau memiliki sembilan album studio, termasuk album bertaraf platinum dan multi-platinum.
Bukan itu sahaja Jason Maraz turut dikenali sebagai eorang aktivis kemanusiaan, malah telah menubuhkan Jason Mraz Foundation bagi menyokong program pendidikan seni inklusif dan memperjuangkan kesaksamaan. Semua keuntungan daripada album Look for the Good (2020) disalurkan kepada organisasi yang memperjuangkan keadilan sosial dan kesaksamaan.




