Jatuh Dari Landasan, OKU Maut Dilanggar Kereta Api

22 Feb 2025 • 3:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
OKU penglihatan itu dikatakan hilang keseimbangan sebelum terjatuh ke landasan - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki kurang upaya maut selepas dipercayai terjatuh ke landasan LRT Titiwangsa sebelum dilanggar kereta api dalam satu kejadian di sini pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Fadil Hesam Mohd berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira-kira 8.38 pagi tadi, melalui sistem MERS-999 memaklumkan penemuan mayat itu.

Beliau berkata mangsa, seorang lelaki berbangsa Cina yang merupakan seorang OKU penglihatan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kejadian ini dipercayai berlaku akibat kehilangan keseimbangan mangsa yang terjatuh tanpa disedari pemandu kereta api," katanya dalam kenyataan.

Fadil Hesam berkata pihak berkuasa sedang meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu dan memeriksa rekod operasi tren pada waktu kejadian.

Beliau berkata proses pengalihan mayat sedang dilaksanakan dengan teliti oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi penyiasatan, selaras dengan semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah dipatuhi.

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd telah mengambil langkah keselamatan dengan menyahaktifkan bekalan kuasa di stesen berkenaan bagi memberi laluan kepada pasukan penyelamat, polis dan pasukan perubatan.

Akibat kejadian itu, perkhidmatan di Stesen PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur terjejas buat sementara waktu dan perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas perantara percuma, telah diaktifkan untuk menyokong operasi penyelamatan.

Pihak berkuasa kini sedang meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengambil tindakan yang sewajarnya. 

Siasatan turut akan melibatkan pemeriksaan rekod operasi keretapi pada waktu kejadian.

Sebarang perkembangan lanjut akan dikemas kini menerusi laman media sosial Rapid KL serta pengumuman di stesen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata polis sedang mengenal pasti identiti mangsa berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan proses bedah siasat dijangka akan dimulakan pada hari ini," katanya.

Beliau juga berkata siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini kerana mangsa tergelincir dan pada masa sama sebuah kereta api melalui landasan tempat dia terjatuh. - BERNAMA